Accessibility Tools

Skip to main content

Kadar jenayah di Kelantan turun 19.5 peratus, kerajaan negeri zahir rasa syukur

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 22 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan kesyukuran atas penurunan ketara kadar jenayah di negeri ini sebanyak 19.5 peratus,  berdasarkan data rasmi terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan secara bersepadu oleh pihak eksekutif, disokong kerangka perundangan yang mantap serta pentadbiran berintegriti.

Menurutnya, kejayaan berkenaan bukan hanya hasil penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya turut dipacu usaha berterusan dalam pembangunan insan berteraskan ilmu, akhlak dan kesedaran rohani.

“Keselamatan awam dan ketenteraman sosial tidak boleh digalas melalui mekanisme penguatkuasaan semata-mata. Akhlak yang baik berfungsi sebagai kawalan dalaman yang mampu mencegah perbuatan jenayah walaupun tanpa pengawasan zahir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dato' Dr Mohamed Fadzli turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Kelantan YDH Dato’ Mohd Yusoff Mamat serta seluruh warga PDRM atas komitmen dan profesionalisme dalam membanteras jenayah di negeri ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri kekal beriltizam memperkasakan agenda Pendidikan Rabbani (DPRK) dan Komuniti Rabbani (K-RAB) sebagai dasar pembangunan insan yang menjadi tunjang pencegahan jenayah secara lestari.

Katanya, pendekatan itu menumpukan pengukuhan kefahaman ilmu yang sahih, penghayatan nilai agama dalam kehidupan seharian serta pembinaan komuniti yang saling memperingatkan ke arah kebaikan dan pencegahan kemungkaran.

“Perubahan sosial yang berkekalan bermula daripada pembinaan jiwa dan sahsiah individu, selaras dengan firman Allah SWT bahawa nasib sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang berkata kerajaan negeri turut menyedari kesan sampingan kepesatan teknologi yang boleh menyumbang kepada peningkatan jenayah jika tidak dipandu dengan nilai dan adab.

Sehubungan itu, katanya, teknologi perlu dimanfaatkan dan diarahkan ke jalan kebaikan melalui ilmu yang berteraskan adab, bukannya ditolak secara total.

“Kemajuan negeri tidak wajar dinilai semata-mata melalui pembangunan material dan angka pertumbuhan, sebaliknya perlu diukur melalui kehalusan budi, kemuliaan akhlak serta ketinggian budaya rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Kelantan, termasuk para perantau, agar terus memelihara amanah, sahsiah dan integriti serta berganding bahu menyeimbangkan pembangunan fizikal dan spiritual demi kesejahteraan negeri.

Jelas beliau, kerajaan negeri berhasrat untuk memastikan Kelantan bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam dan warisannya, malah menjadi contoh sebagai negeri yang rakyatnya berakhlak mulia, sejajar dengan identiti Kelantan Darul Naim yang berteraskan nilai Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa jenayah indeks di Kelantan mencatat penurunan daripada 2296 kes pada 2024 kepada 1848 kes pada tahun 2025, penurunan sebanyak 448 kes atau 19.5 peratus.