Accessibility Tools

Skip to main content

Aktiviti borong di Pasar Siti Aisyah Jelawat pindah ke Pasar Bandar Baru Jelawat mulai 1 Februari 2026

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media MDB-BPI

BACHOK, 22 Januari - Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI) memaklumkan semua aktiviti pemborongan ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di Pasar Siti Aisyah Jelawat akan dipindahkan ke Pasar Bandar Baru Jelawat berkuat kuasa 1 Februari 2026.

Menerusi media sosial Ahad lalu, MDB-BPI menyatakan pemindahan itu bagi menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selesa dan kemudahan yang lebih bai kepada pemborong dan pembeli.

Menurut kenyataan itu juga, penempatan baharu berkenaan dijangka dapat melancarkan urusan jual beli, menarik lebih ramai pengunjung serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat di Daerah Bachok.

“Langkah ini juga selari dengan usaha berterusan MDB-BPI dalam menyusun semula operasi pasar borong agar lebih kemas, selamat serta mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, MDB-BPI turut mengadakan pertemuan bersama peniaga borong bagi membincangkan penempatan baharu aktiviti perniagaan di Pasar Bandar Baru Jelawat.

Hasil perbincangan tersebut menyaksikan semua pihak mencapai persetujuan untuk berpindah dan menjalankan perniagaan di pasar berkenaan demi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selesa dan sistematik.

Pada hari sama, proses pembahagian tapak perniagaan turut dilaksanakan secara teratur dan telus bagi memastikan setiap peniaga memperoleh ruang niaga yang bersesuaian dengan keperluan operasi masing-masing.