Accessibility Tools

Skip to main content

Impian miliki kediaman sendiri tercapai, Penyelaras OKU Tumpat terima kunci Rumah Dhuafa’

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media ADN Wakaf Bharu

TUMPAT, 21 Januari – Impian Penyelaras Orang Kurang Upaya (OKU) Parlimen Tumpat untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau menerima sebuah Rumah Dhuafa’ dalam satu majlis perasmian dan penyerahan kunci yang berlangsung di Kampung Bunut Sarang Burung, pada Sabtu.

Majlis tersebut disempurnakan dengan solat hajat serta perasmian penyerahan rumah dan turut dikongsikan menerusi hantaran video Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu, YB Rusli di media sosial.

Penerima rumah, Harun Yusoff atau lebih dikenali sebagai Man, melahirkan rasa syukur dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas bantuan yang diberikan kepada beliau sekeluarga.

“Saya dan isteri serta dua orang anak mengucapkan terima kasih kepada YB Rusli dan Menteri Besar Kelantan kerana telah memberi rumah kepada saya.

“Sebelum ini saya tinggal menumpang di rumah kakak. Saya amat bersyukur kerana kini dapat duduk di rumah sendiri tanpa perlu menyewa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemberian tersebut sebagai hadiah amat bermakna yang membawa kegembiraan besar kepada keluarganya.

“Saya gembira dengan hadiah daripada kerajaan negeri untuk saya sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, YB Rusli dalam kenyataannya berkata, Harun merupakan Penyelaras OKU Parlimen Tumpat yang banyak membantu menguruskan hal ehwal golongan OKU sama ada di peringkat Parlimen mahupun negeri Kelantan.

“Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama dalam solat hajat dan perasmian penyerahan Rumah Dhuafa’ kepada Man yang merupakan Penyelaras OKU Parlimen Tumpat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Man dan merakamkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Kelantan atas peruntukan Rumah Dhuafa’ ini,” katanya.

Menurutnya, Harun mempunyai dua orang anak dan isterinya juga merupakan seorang OKU, justeru bantuan perumahan tersebut amat signifikan dalam menjamin keselesaan dan kesejahteraan keluarga berkenaan.

“Semoga rumah ini dapat merealisasikan impian dan harapan Man untuk menjaga keluarganya.

“Semoga Man terus kuat bekerja, bersemangat menyara keluarga serta menjadi contoh dan inspirasi kepada golongan OKU,” ujarnya.