Accessibility Tools

Skip to main content

Jangan sombong dengan ilmu dan pencapaian – Exco Agama

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 21 Januari - Sikap merasa diri paling pandai dan berilmu kerana memiliki pelbagai pencapaian perlu dijauhi kerana ia boleh menjerumuskan seseorang ke dalam sifat sombong dan angkuh.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa ilmu sepatutnya melahirkan rasa tawaduk, bukannya untuk berasa sombong dan angkuh.

Menurutnya, sifat mazmumah itu  mendorong seseorang merendahkan pandangan dan perbuatan orang lain yang dianggap lebih rendah tahap pengetahuan serta pencapaiannya.

“Jangan sekali-kali berasa sombong dengan ilmu dan kepandaian yang kita ada. Sikap ini boleh menyebabkan kita menolak kebenaran, menidakkan pandangan orang lain serta memandang rendah mereka yang kelihatan lemah atau tidak mempunyai pencapaian,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Jelasnya, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam bahawa ahli syurga boleh terdiri daripada golongan yang lemah dan dipandang hina oleh manusia, namun mereka dekat dengan Allah SWT kerana keikhlasan serta kesungguhan berdoa dan bergantung harap kepada-Nya.

Sebaliknya, katanya lagi, tidak mustahil ahli neraka datang daripada kalangan orang berilmu sekiranya mereka memiliki hati yang keras, ego dan sombong, walaupun mempunyai kedudukan serta pengetahuan yang tinggi.

“Nabi SAW juga sangat murka terhadap golongan yang banyak bercakap tanpa faedah, memandang rendah percakapan orang lain dan bersikap sombong ketika berbicara,” ujarnya.

Justeru itu, YB Mohd Asri mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjaga adab dalam percakapan, termasuk ketika memberi pandangan atau kritikan, dengan mengamalkan hikmah, tutur kata yang baik serta pendekatan yang lembut.