Kaedah Terramesh, pembinaan jambatan antara solusi jangka panjang isu jalan di Lojing
Oleh: Syamimi Manah
LOJING, 21 Januari – Kaedah pembaikian cerun menggunakan Terramesh Wall System serta cadangan pembinaan jambatan dikenal pasti sebagai antara penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah runtuhan jalan dan lubang benam yang berulang di Laluan Persekutuan FT185, Lojing.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, susulan kejadian jalan runtuh yang berlaku pada 3 Disember 2025 kira-kira pukul 12 tengah malam di Seksyen 107.6 FT185, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan pemeriksaan tapak serta penilaian keselamatan.
Menurutnya, hasil penilaian tersebut mendapati keadaan laluan berkenaan tidak selamat untuk digunakan, menyebabkan JKR menutup sepenuhnya jalan itu kepada semua kenderaan bagi mengelakkan risiko lebih besar kepada pengguna.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar, YB Dato’ Dr Izani Husin
“Laporan awal kejadian telah dikemukakan kepada Ibu Pejabat JKR sebelum kajian teknikal terperinci dilaksanakan bagi menentukan kaedah pembaikian yang paling sesuai, selamat dan mampan untuk jangka panjang,” katanya ketika mengulas lawatan kerja ke lokasi terjejas, pada Ahad.
Dato’ Dr Izani menjelaskan, hasil kajian mendapati pembaikian cerun perlu dilaksanakan menggunakan kaedah Terramesh Wall System yang dikenal pasti lebih berkesan dalam menstabilkan cerun di kawasan berisiko tinggi.
“Sehubungan itu, Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya dengan anggaran kos sebanyak RM35 juta,” ujarnya.
Selain pembaikan kekal, beliau memaklumkan JKR turut mencadangkan pembinaan laluan lencongan sementara yang lebih selamat dengan anggaran kos melebihi RM2 juta bagi memastikan kelangsungan pergerakan pengguna jalan raya sementara menunggu kelulusan peruntukan dan pelaksanaan kerja pembaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Dr Izani berkata lawatan kerja berkenaan turut melibatkan satu lagi lokasi kejadian lubang benam di Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 78.600, Jalan Lojing–Gua Musang dalam Jajahan Gua Musang.
Menurutnya, penilaian teknikal JKR mendapati kawasan tersebut berada pada tahap risiko tinggi dan memerlukan penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh.
“Pihak konsesi mencadangkan pembinaan sebuah jambatan sebagai penyelesaian paling sesuai bagi mengatasi masalah berulang di kawasan itu. JKR akan menjalankan kajian struktur terperinci sebelum mengangkat permohonan untuk pertimbangan dan kelulusan Menteri Kerja Raya,” hurainya.
Beliau juga menjelaskan bahawa sebelum ini pihak konsesi penyelenggaraan, Roadcare telah melaksanakan satu pembaikan kekal serta dua kali kerja penyelenggaraan, namun kejadian lubang benam dan runtuhan masih terus berlaku.
Tambahnya, keadaan tersebut dikenal pasti berpunca daripada pergerakan air bawah tanah yang aktif, sekali gus menjadikan kaedah pembaikan konvensional tidak lagi sesuai untuk jangka masa panjang.
“Oleh itu, pembinaan jambatan dikenal pasti sebagai penyelesaian paling selamat dan mampan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” jelasnya.
Dr Izani turut merakamkan penghargaan kepada JKR atas tindakan pantas serta komitmen berterusan dalam memohon peruntukan pembaikan kekal dan laluan lencongan demi keselamatan rakyat.
“Kerajaan Negeri Kelantan akan terus bekerjasama rapat dengan JKR serta kementerian berkaitan bagi memastikan kelulusan peruntukan dapat dipertimbangkan segera demi keselamatan awam dan kelangsungan sistem perhubungan di kawasan Lojing dan Gua Musang,” ujarnya.


















