Accessibility Tools

Skip to main content

Kritik dengan hikmah, raih kasih sayang bukan permusuhan – Exco Agama

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 21 Januari - Kritikan terhadap seseorang perlu disampaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan bagi mengelakkan perasaan tersinggung, sekali gus meraih kasih sayang serta penghormatan, bukan mencetuskan permusuhan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan, pendekatan menegur secara terbuka sering kali membawa kesan negatif kerana boleh mengaibkan individu yang dikritik serta melukakan perasaan mereka.

Katanya, kritikan secara terbuka kebiasaannya hanya menjatuhkan orang yang ditegur dan memberi keuntungan kepada pengkritik dari segi nama dan perhatian.

"Akhirnya, ia membawa kepada perselisihan berpanjangan, malah perbalahan,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Menurutnya, Islam menuntut setiap keburukan dicegah, namun mesti dilakukan dengan kaedah (uslub) yang betul.

“Jika cara teguran itu tepat, orang yang melakukan kejahatan boleh berubah menjadi insan yang baik. Namun, jika kaedahnya salah, orang yang asalnya baik dengan pengkritik boleh berubah menjadi bermusuhan,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW telah mengajar umat Islam supaya tidak menegur kesalahan individu secara terbuka dengan menyebut nama dan kesalahan mereka, sebaliknya memberi nasihat secara umum sebagai pengajaran kepada semua.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjaga maruah individu yang ditegur, bahkan mengelakkan mereka daripada terasa hati dan menjauhkan diri,” ujarnya.