Pendekatan kreatif Kelantan digitalisasikan juadah musim monsun
Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 20 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan menerbitkan dokudrama ke-19 sebagai pendekatan kreatif mendigitalisasikan juadah tradisi musim monsun, selari usaha memartabatkan warisan makanan tempatan dalam ekosistem media dan teknologi semasa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata dokudrama berkenaan memfokus teknologi fermentasi Ikan Budu serta inovasi resipi Telur Dadar Ikan Budu, hidangan tradisi yang sinonim dengan kehidupan masyarakat Kelantan ketika musim tengkujuh.
Menurutnya, bermula November hingga Mac setiap tahun, negeri-negeri Pantai Timur berdepan cabaran musim tengkujuh, namun masyarakat Kelantan telah lama menyesuaikan diri dengan fenomena tersebut sebagai sebahagian daripada kitaran kehidupan.
“Masyarakat Kelantan pun sudah serasi dengan bah. Sebab itulah kita mengambil pendekatan positif dengan meraikan ujian ini melalui program yang bermanfaat, selagi tidak memudaratkan semua pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata pendekatan itu turut diterjemahkan menerusi penganjuran Kemasin Beach Suf Competition 2025 pada akhir tahun lalu yang menggabungkan elemen sukan, pelancongan dan kebudayaan. Pada masa sama, makanan popular musim tengkujuh dipamerkan sebagai salah satu komponen acara bagi menghayati sepenuhnya suasana dan ‘mood’ musim bah secara positif.
“Mahu atau tidak, monsun tetap datang. Apa yang penting ialah bagaimana kita menghadapinya dengan tenang dan kreatif,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Kamarudin juga menjelaskan bahawa penerbitan dokudrama Ikan Budu tersebut bertujuan mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda, kepada dunia digital selaras dengan trend semasa, selain memperluas kefahaman terhadap nilai ilmu dan kearifan tempatan di sebalik makanan tradisional.
Katanya lagi, kisah fermentasi yang sebelum ini terhad di ruang dapur kini diangkat ke medium visual dan platform digital sebagai naratif yang mendidik serta menghibur, sekali gus membuka ruang inovasi kandungan berteraskan warisan.
“Dokudrama ini membuktikan bahawa di sebalik cabaran musim tengkujuh, terdapat kebijaksanaan tempatan yang terus hidup dan boleh diolah menjadi kandungan berimpak, selari dengan kehendak zaman,” jelasnya.








