Accessibility Tools

Skip to main content

Jeti Pelancongan Tok Bali pemangkin pelancongan maritim Kelantan

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 20 Januari – Pembangunan Jeti Pelancongan Tok Bali dilihat sebagai antara inisiatif strategik yang mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan maritim di Kelantan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamaruddin Md Nor telah mengadakan lawatan kerja serta mendengar sesi taklimat daripada pihak Nasrom Travel & Tours pada Ahad.

Menurutnya, perkembangan semasa projek berkenaan, termasuk perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta insentif yang telah dan sedang dilaksanakan.

"Perancangan yang dirangka selari dengan hala tuju pembangunan pelancongan negeri, selain memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Kita berpuas hati apabila mendapati pembangunan jeti pelancongan ini menyokong pengukuhan sektor pelancongan maritim. Ia juga berpotensi menjadi pintu masuk baharu kepada pelbagai aktiviti pelancongan seperti rekreasi laut, pelayaran serta industri sokongan yang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menjelaskan, projek itu dijangka mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat termasuk usahawan kecil, nelayan, penggiat homestay serta pemain industri pelancongan di kawasan sekitar Tok Bali dan Semerak.

Susulan itu, Datuk Kamaruddin turut mengadakan lawatan ke tapak pembinaan bot di Kampung Dalam Rhu, Semerak bagi meninjau secara dekat proses pembinaan, tahap kemajuan kerja serta spesifikasi bot yang sedang dibangunkan untuk kegunaan pelancongan.

Tapak pembinaan bot tersebut diusahakan oleh pengusaha tempatan, Che Ezamry Che Ramli, 45, dan telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Kilang bot berkenaan membangunkan tiga kategori utama bot iaitu bot nelayan, bot sukan memancing (sport fishing) dan bot pelancongan yang direka mengikut keperluan serta spesifikasi pengguna.

Pengusaha kilang bot tersebut bekerjasama dengan syarikat Nasrom Travel & Tours bagi membekalkan bot pelancongan untuk kegunaan aktiviti pelancongan air di Jeti Tok Bali.