Obesiti, diabetes cabaran kesihatan awam serius, penganjuran simposium obesiti langkah tepat -YB Hilmi
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 20 Januari - Isu obesiti dan diabetes kini menjadi antara cabaran kesihatan awam paling serius, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah.
Katanya, penganjuran simposium kesihatan yang membincangkan prosedur bariatrik amat bertepatan dengan realiti semasa kerana masalah obesiti tidak lagi boleh dilihat sebagai isu kosmetik atau gaya hidup semata-mata.
“Sebaliknya, obesiti telah berkembang menjadi isu penyakit kronik, isu ekonomi, isu sosial, malah memberi kesan kepada ibadah dan kualiti hidup umat manusia,” katanya menerusi media sosial pada Ahad.
Tambahnya, obesiti penyebab penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan buah pinggang serta pelbagai komplikasi lain bukan lagi isu remeh, malah merupakan satu kemudaratan nyata yang wajib ditangani secara ilmiah, beretika dan berlandaskan syarak.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kos rawatan bariatrik mungkin kelihatan tinggi pada peringkat awal, hakikatnya kos komplikasi akibat penyakit diabetes, rawatan dialisis, pembedahan jantung serta rawatan kronik jangka panjang adalah jauh lebih besar.
“Selain membebankan sistem kesihatan, komplikasi ini turut merugikan masa dan menjejaskan kesejahteraan serta kehidupan berkeluarga pesakit,” katanya.
Terdahulu, YB Hilmi hadir merasmikan simposium kesihatan yang membincangkan prosedur bariatrik anjuran Klinik Perubatan An-Nisa dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), dengan kerjasama pakar perubatan dari Qurus Clinic, iaitu Dr Abdul Ghafoor dan Dr Ahmad Khiril Irham di sebuah hotel di Kota Bharu pada Sabtu.
Simposium berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian oleh Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Kelantan Tuan Zamani Amir Tuan Zakaria, YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusof serta pakar dietitian Nurhanna Aqilah.
Program tersebut turut disertai oleh pengamal perubatan am, khususnya pakar bariatrik, pakar perubatan keluarga serta warga kesihatan primer dari seluruh negeri.














