Accessibility Tools

Skip to main content

Sistem peperiksaan YIK tunjang hala tuju Pendidikan Islam Kelantan - Exco Pendidikan

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 20 Januari - Sistem peperiksaan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) sejak awal penubuhannya menjadi tunjang utama dalam membentuk hala tuju pendidikan Islam di negeri ini, khususnya melalui penekanan terhadap penguasaan Bahasa Arab dan penggunaan silibus Al-Azhar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan berkata, pendekatan berkenaan berjaya melahirkan generasi pelajar yang memiliki asas agama yang kukuh serta keupayaan memahami teks turath dan sumber rujukan utama dalam bidang keilmuan Islam.

“Dalam masa yang sama, YIK sentiasa peka terhadap perubahan zaman dan keperluan semasa supaya pendekatan pentaksiran yang dilaksanakan kekal relevan, tanpa mengabaikan identiti serta roh pendidikan Islam yang menjadi teras,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) Profesor Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat; Pengarah YIK Shamsul Abu Bakar; Timbalan-Timbalan Pengarah YIK, serta pegawai dan pesara YIK, di bilik mesyuarat pejabat Exco, Kompleks Kota Darulnaim.

Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), Profesor Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat

Katanya, perbincangan tersebut bertujuan merangka langkah penambahbaikan sistem peperiksaan YIK secara berhikmah dan berperingkat agar pelaksanaannya terus kukuh serta selari dengan keperluan pendidikan semasa.