Rong Chenok Agro Valley: PKPNK tampilkan model pertanian moden bersepadu
Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 19 Januari - Rong Chenok Agro Valley yang diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) terus membuktikan keupayaannya sebagai model pertanian moden bersepadu, merangkumi sektor pertanian, penternakan dan akuakultur, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negeri Kelantan.
Kemajuan tersebut dizahirkan sempena lawatan kerja Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ke hab pertanian berkenaan bagi meninjau pelaksanaan pelbagai projek strategik yang sedang dilaksanakan oleh PKPNK.
Menurutnya, antara tumpuan utama lawatan ialah Projek Melon Madu Kelantan (MMK) yang dilaksanakan di Pusat Penanaman Melon Madu Kelantan, yang kini menunjukkan prestasi pengeluaran yang memberangsangkan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
“Projek ini dibangunkan hasil peruntukan Kerajaan Negeri Kelantan sebanyak RM150,000 pada awal tahun lalu, melibatkan 1,000 pokok melon yang kini sedang melalui penuaian kali kedua, sekali gus mencerminkan pengurusan ladang yang berkesan serta potensi hasil yang tinggi,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa PKPNK akan mengadakan jualan terus dari ladang sempena Hari Ladang Agro Valley Rong Chenok pada Sabtu, 24 Januari, bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang.
“Harga jualan Melon Madu Kelantan ditawarkan RM2 lebih rendah daripada harga pasaran semasa bagi melon premium sebagai usaha mendekatkan hasil berkualiti kepada masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPNK kini sedang melaksanakan fasa pengembangan projek MMK menerusi peruntukan RM500,000 di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah kendalian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Fasa ini melibatkan pembinaan dua rumah perlindungan hujan serta penanaman 4,000 pokok melon, bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memastikan kesinambungan bekalan,” jelasnya.
Dato’ Tuan Mohd Saripudin berkata, inisiatif berimpak tinggi seperti itu akan terus diperkasa bagi memperkukuh sektor hortikultur negeri, meningkatkan pendapatan pengusaha tani serta mengangkat jenama Melon Madu Kelantan sebagai produk premium tempatan.
Sementara itu, projek pertanian moden PKPNK turut menunjukkan prestasi memberangsangkan, termasuk projek hidroponik NFT tanaman sawi yang melibatkan 56,000 pot dengan keupayaan pengeluaran sekitar 300 kilogram setiap musim, serta projek fertigasi meja cili yang menempatkan 2,000 pokok cili.
“Projek-projek ini mencerminkan keupayaan pendekatan pertanian moden yang lebih tersusun, cekap dan berorientasikan kualiti hasil,” ujarnya.
Dalam sektor penternakan pula, beliau meninjau kandang ayam pedaging moden sistem tertutup yang dibangunkan melalui kerjasama strategik PKPNK dan KPKM, dengan kapasiti 20,000 ekor ayam pedaging khusus untuk pasaran tempatan.
“Lawatan hari ini bertepatan dengan hari penuaian 10,000 ekor ayam pedaging, sekali gus menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan rakyat,” katanya.
Turut menjadi perhatian ialah kandang lestari ternakan lembu Charolais yang menempatkan lebih 60 ekor lembu, dibangunkan berasaskan konsep pengurusan moden serta menepati piawaian kebajikan ternakan. Kandang ini berpotensi dijadikan pusat latihan, kandang contoh dan pusat pendidikan penternakan, khususnya dalam melahirkan penternak ruminan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Lawatan diakhiri dengan tinjauan ke Pusat Pembenihan Akuakultur PKPNK, yang mempunyai keupayaan pengeluaran sehingga 20,000 benih ikan bagi menyokong industri perikanan negeri.
Menurutnya, pusat berkenaan berperanan penting dalam memastikan bekalan benih berkualiti, meningkatkan produktiviti sektor akuakultur serta memperkukuh rantaian keterjaminan makanan berasaskan perikanan, di samping membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Induk tilapia dan keli dibekalkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan pada 25 Jun tahun lalu, dan kini PKPNK telah berjaya membiakkan 20,000 benih ikan di dalam enam kolam,” jelasnya.
Beliau menzahirkan kepuasan terhadap pencapaian PKPNK dan menegaskan bahawa pembangunan bersepadu di Rong Chenok Agro Valley mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kelantan, PKPNK serta sokongan KPKM.
“Kerjasama erat tiga pihak ini dalam memperkasa sektor pertanian moden, meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan menjamin keterjaminan makanan negeri secara mampan,” katanya.






















