Accessibility Tools

Skip to main content

Kemajuan projek Jambatan Sungai Durian capai 49.39 peratus

Oleh: Syamimi Manah

KUALA KRAI, 19 Januari 2026 – Projek pembinaan Jambatan Sungai Durian yang terletak di laluan Persekutuan FT008 di Pekan Kuala Krai mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 49.39 peratus setakat 20 Disember 2025.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, projek berkenaan merupakan antara infrastruktur penting yang menyokong pergerakan harian penduduk setempat serta laluan utama kenderaan berat termasuk bas ekspres dan lori balak.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan jambatan tersebut di kawasan DUN Mengkebang, semalam. 

Lawatan itu turut disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar, Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman serta pihak kontraktor yang terlibat.

Menurut Dato’ Dr. Izani, projek pembinaan Jambatan Sungai Durian telah diluluskan pada tahun 2021, namun mengalami sedikit kelewatan daripada jadual asal susulan situasi pandemik COVID-19 yang menjejaskan pelaksanaan kerja dan menyebabkan kelewatan hampir dua tahun.

“Selepas tempoh pandemik, projek ini turut berdepan beberapa isu teknikal, antaranya melibatkan utiliti dan pengambilan tanah, yang memerlukan tindakan penyelarasan lanjut,” jelasnya.

Sehubungan itu, tempoh siap projek telah dilanjutkan bagi membolehkan segala isu berkenaan ditangani secara berperingkat dan teratur. 

Beliau berharap pihak kontraktor dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya supaya pembinaan kedua-dua jambatan dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa projek berkenaan dipantau oleh Jurutera Jabatan Kerjaraya (JKR) Jajahan Kuala Krai dan pemantauan rapi akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran serta kualiti pelaksanaan projek.

Dato’ Dr. Izani turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan projek tersebut yang bertujuan memberi kemudahan, keselamatan dan keselesaan kepada rakyat, khususnya pengguna laluan Persekutuan FT008.

“kita sama-sama berharap agar projek ini dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh yang telah ditetapkan" ujarnya.