Accessibility Tools

Skip to main content

Usaha menyeluruh diperlukan tangani isu dadah di Kelantan – YB Zamakhshari

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 19 Januari — Isu penyalahgunaan dadah di Kelantan tidak boleh ditangani melalui pendekatan satu dimensi semata-mata, sebaliknya menuntut usaha menyeluruh yang melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, agensi berkaitan, komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, tanggungjawab menangani isu dadah tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada penguatkuasaan atau kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen kolektif seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan dalam sesi Podcast Sisi Pandang, yang membincangkan realiti semasa cabaran penyelesaian dadah di Kelantan.  

“Masalah dadah bukan isu terasing atau kegagalan satu pihak, tetapi berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait seperti tekanan sosioekonomi, pengaruh persekitaran, kelemahan sokongan keluarga serta keterdedahan belia kepada rangkaian pengedaran dadah,” katanya di laman rasmi, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa berinteraksi dan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) serta komuniti setempat dalam usaha pencegahan, pemulihan dan advokasi di peringkat akar umbi.

Namun jelasnya, cabaran sebenar adalah memastikan kesinambungan program yang dilaksanakan serta penglibatan aktif masyarakat secara konsisten dan bukan sekadar bersifat bermusim atau reaksi jangka pendek.

Dalam hal itu, YB Zamakhshari menegaskan peranan komuniti dan NGO amat penting, khususnya dalam aspek pengesanan awal, sokongan pemulihan serta pembinaan semula kehidupan bekas penagih agar mereka tidak kembali terjerumus ke kitaran lama.

Beliau turut menekankan bahawa pencegahan paling awal bermula di peringkat keluarga, di mana hubungan yang harmoni, komunikasi yang sihat serta sokongan emosi dalam rumah tangga menjadi benteng utama melindungi remaja dan belia daripada pengaruh dadah.

“Isu ini menuntut kesedaran, keprihatinan dan tindakan bersama. Jika kita benar-benar mahukan perubahan, ia perlu bermula dari rumah, diperkukuh di peringkat komuniti dan diterjemahkan melalui kerjasama berterusan semua pihak,” ujarnya.