Majlis Taujihat 2026: Pertanian teras strategik Kelantan
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 18 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen menjadikan sektor pertanian sebagai teras strategik negeri selaras dasar Membangun Bersama Islam (MBI).
Demikian kenyataan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail sempena Majlis Taujihat 2026 yang bertemakan “Keterjaminan Makanan, Tanggungjawab Ummah”, yang yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis Taujihat 2026 yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pertanian dan industri agro.tersebut menjadi platform perkongsian strategi dan pengalaman antara pentadbir, usahawan agro serta pihak berkepentingan dalam memperkukuh daya saing sektor pertanian negeri.
“Sektor pertanian menyumbang lebih 20 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri, sekaligus menjadi pemacu utama ekonomi rakyat serta jaminan keterjaminan makanan. Kami bertekad memperkukuh pembangunan sektor ini secara menyeluruh,” katanya.
Menurut Dato’ Tuan Mohd Saripudin, kejayaan sektor ini jelas terserlah pada 2025 apabila 1.2 juta benih ikan dan udang dilepaskan bagi mempertingkatkan produktiviti perikanan. Bagi 2026, kerajaan negeri menyasarkan 61,000 tan metrik pendaratan ikan marin di seluruh negeri.
Industri nanas juga mencatat lonjakan ketara, dengan luas tanaman meningkat 55 peratus manakala luas bantuan melonjak 82 peratus, daripada 147.94 hektar pada 2024 kepada 228.85 hektar pada 2025.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh rantaian nilai hasil pertanian melalui pembangunan CPPC Lojing (Collection, Processing & Packaging Centre) yang dijangka meningkatkan keupayaan pengumpulan, pemprosesan dan pengepakan hasil pertanian.
“Dalam sektor penternakan pula, kita memfokuskan pembangunan projek kambing tenusu serta pengoperasian Goat Milk Collection Centre di Ketereh dan Pasir Puteh, selain projek ayam pedaging dan penelur berskala besar,” ujarnya.
Selain itu, fokus utama bagi 2026 adalah pemerkasaan belia agropreneur, pendigitalan pertanian, teknologi pintar, dan pembangunan modal insan bagi memastikan kelestarian sektor ini. Kejayaan pelaksanaan strategi ini dijangka dicapai dengan kerjasama 88 rakan strategik termasuk agensi negeri dan persekutuan.
“Insya Allah dengan iltizam bersama, Kelantan terus dipacu ke arah menjadi Jelapang Makanan Negara atau Baloh Negara demi ekonomi dan sebagai amanah serta ibadah untuk kesejahteraan ummah,” katanya.










