Accessibility Tools

Skip to main content

Roadcare ambil alih penyelenggaraan Pakej 3B, 3C Jalan Gua Musang

Oleh: Fathi Arifin dan Norzana Razaly

GUA MUSANG, 18 Januari – Kerajaan negeri memaklumkan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan jalan bagi Pakej 3B dan 3C akan diambil alih oleh konsesi jalan Persekutuan Roadcare, susulan tamat tempoh kontrak penyelenggaraan sebelum ini pada Oktober lalu.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin memaklumkan bahawa ketiadaan kontraktor dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan kerja-kerja penyelenggaraan tidak dapat dilaksanakan secara teratur, sekali gus menjejaskan keselesaan dan kelancaran trafik.

Menurutnya, perkembangan terbaharu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan merupakan satu berita baik apabila laluan berkenaan akan diserahkan kepada Roadcare untuk tujuan penyelenggaraan.

“Roadcare akan mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan dengan peruntukan bajet yang akan dipohon daripada JKR Persekutuan, manakala pelaksanaan kerja akan dipantau oleh JKR Negeri,” katanya ketika ditemui media Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri (UPKN) semasa meninjau keadaan jalan terbabit, hari ini.

Beliau juga menjelaskan, pihak Roadcare akan menilai keperluan penyelenggaraan sama ada melibatkan kerja-kerja tampalan lubang atau penurapan semula bagi memastikan keadaan jalan menjadi lebih baik dan selesa untuk pengguna.

“Sebelum ini, jalan ini tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan banyak lubang dan seterusnya menimbulkan kesesakan lalu lintas. Alhamdulillah, bermula hari ini pihak ibu pejabat telah memberi kuasa kepada Roadcare untuk menyelenggara jalan ini. Kita menganggap ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif kerana ia akan melancarkan kembali pergerakan trafik,” katanya.

Tambahnya, Pakej 3B dan 3C melibatkan laluan dari Bandar Baru ke bandar utama sejauh kira-kira tujuh kilometer, dan laluan berkenaan akan diselenggara sepenuhnya oleh Roadcare di bawah pemantauan kerajaan negeri.

Sementara itu, Pakej 3D yang merangkumi laluan dari Taman Wangi ke Mentara sejauh kira-kira 10 kilometer masih berada di bawah tanggungjawab kontraktor sedia ada, Syarikat Jaya Zira yang akan terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di laluan berkenaan.

Mengulas mengenai jalan lencongan (bypass) Dato’ Dr Izani berkata laluan tersebut sebelum ini turut mengalami masalah penyelenggaraan sehingga menyebabkan pergerakan kenderaan perlahan dan kesesakan lalu lintas. Namun, kerja-kerja tampalan yang dilaksanakan baru-baru ini telah menunjukkan peningkatan aliran trafik.

“Selepas ini, kita akan meminta pihak kontraktor supaya melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan lebih menyeluruh, termasuk penurapan semula, supaya jalan menjadi lebih baik, lebih selesa dan perjalanan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan agar kerja-kerja pembaikan dapat dipercepatkan dan sebahagiannya disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina.

“Jika tidak dapat disiapkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya keadaan jalan akan menjadi jauh lebih baik berbanding sekarang,” ujarnya.