Idealisme anak muda perlu diganding dengan kebijaksanaan pengalaman – TMB Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media TMB
KOTA DARULNAIM, 18 Januari – Pembinaan kepimpinan masa depan perlu menggabungkan idealisme anak muda dengan kebijaksanaan pengalaman bagi melahirkan barisan pemimpin yang strategik, berintegriti dan berpandangan jauh.
Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan yang dimuat naik di laman rasmi beliau hari ini, bersempena kunjungan hormat daripada Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) bersama barisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan.
Menurutnya, pemikiran generasi muda wajar diasah agar melangkaui kerangka pemikiran semasa, selari dengan konsep Hamasah as Syabab, wal Hikmah as Syuyukh (Semangat anak muda dan kebijaksanaan orang tua).
Tambahnya, selaras dengan agenda Kelantan Sejahtera 2033, usaha memperkukuh sistem perkaderan kepimpinan serta pemerkasaan generasi muda yang berdaya tahan dan kalis cabaran merupakan antara pemacu utama kepada kesinambungan kepimpinan negeri yang berwibawa, berilmu dan berorientasikan kesejahteraan jangka panjang.
Dalam pada itu, Dato' Dr Mohamed Fadzli turut merakamkan penghargaan atas kunjungan hormat daripada Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) bersama ADN-ADN Belia Kelantan di pejabatnya, hari ini.
"Saya menghargai kunjungan hormat daripada Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) dan ADN-ADN Belia Kelantan.Pengenalan yang diberikan serta cadangan-cadangan yang dilontarkan amat bernas dan konstruktif.
"Saya cukup mengagumi semangat dan idealisme anak-anak muda ini yang menunjukkan keprihatinan tinggi serta keberanian dalam mencadangkan idea-idea bernas untuk pembangunan kepimpinan masa depan," katanya menerusi laman rasmi, hari ini.
Beliau berharap agar jalinan kerjasama dan inisiatif seumpama itu dapat menjadi pemangkin kepada kelahiran barisan kepimpinan muda masa hadapan.
"Terima kasih atas kunjungan yang penuh bermakna ini. Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lahirnya barisan kepimpinan muda yang berwibawa, berakhlak dan mampu memacu Kelantan ke arah kesejahteraan yang berterusan" ujarnya.














