Nilai rabbani teras tazkiyah an -nafs – Dato' Dr Fadzli
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 11 Januari - "Nilai rabbani perlu ditarbiah dan ditanam secara menyeluruh dalam diri setiap anggota masyarakat kerana ia merupakan teras kepada tazkiyah an-nafs serta asas kepada pembinaan insan agar mereka sedar hakikat penciptaan mereka adalah sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi."
Demikian kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan menerusi media sosial pada Sabtu.
Menurutnya, penghayatan dan penerapan nilai Rabbani mampu membentuk fikrah berpandukan wahyu, menundukkan hawa nafsu di bawah bimbingan iman serta melahirkan amal yang lahir daripada taqwa, ihsan dan rasa muraqabah kepada Allah SWT.
"Hasil daripada kesedaran itulah akan terbit akhlak, amanah dan tanggungjawab yang bukan bersifat luaran semata-mata, sebaliknya lahir daripada kesedaran batin.
“Tanpa nilai rabbani yang hidup dalam jiwa, manusia mudah hanyut dalam tipu daya dunia sehingga maksiat dinormalisasikan, dosa dianggap biasa dan kesalahan terus dilakukan walaupun hati kecil mengakui ia dimurkai Allah,” katanya.
Atas kesedaran itu, Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan Budaya Komuniti Rabbani (K-Rabb) sebagai usaha pembaharuan berterusan untuk menghidupkan nilai ketuhanan dalam kehidupan bermasyarakat.
Pendekatan tersebut bertujuan membentuk suasana solehah agar setiap individu sentiasa merasakan dirinya berada di bawah pengawasan Allah SWT, bukan sekadar tunduk kepada peraturan dan penilaian manusia.
“Nilai rabbani tidak dibiarkan terasing dalam ruang ibadah semata-mata, sebaliknya dihidupkan dalam seluruh dimensi kehidupan termasuk cara berfikir, bekerja, berinteraksi, membuat keputusan dan mengurus amanah sehingga agama benar-benar menjadi manhaj hidup, bukan sekadar hiasan slogan,” hurainya.
Dalam masa sama, penerapan nilai rabbani turut digerakkan menerusi sektor pendidikan apabila pelajar sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang dibimbing berasaskan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK).
Pendekatan itu bertujuan melahirkan generasi mutarabbi yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah memiliki kesedaran iman yang mendalam, memahami batas halal dan haram serta mampu menahan diri daripada maksiat walaupun peluang terbuka luas.
“Pendidikan rabbani mendidik pelajar bahawa dunia hanyalah medan ujian dan persinggahan sementara, bukan destinasi akhir. Setiap pilihan hidup adalah amanah dan setiap amal akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya terus bergelumang dalam dosa dengan berlindung di sebalik alasan nafsu, tekanan atau kebiasaan sedangkan hakikatnya setiap insan mesti sedar bahawa kehidupan dunia ini pasti berakhir.
Kesedaran itu juga yang ingin dihidupkan melalui Dasar Membangun Bersama Islam yang digagaskan oleh Allahyarham Tan Sri, Dato' Bentara Setia, Tuan Guru, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membentuk masyarakat yang takut kepada Allah bukan kerana pengawasan manusia, tetapi kerana keyakinan terhadap hisab, pembalasan dan pertemuan dengan-Nya.
“Natijah yang diharapkan ialah terbentuknya masyarakat yang benar-benar beragama, di mana iman diterjemahkan dalam akhlak, ilmu melahirkan tanggungjawab, manakala kuasa dan amanah dipandu oleh taqwa,” ujarnya.
Tegasnya, itulah ciri masyarakat rabbani yang memelihara diri daripada dosa, menjaga maruah insan serta membina kehidupan dunia dengan pandangan akhirat demi memperoleh keredaan Allah SWT sebagai matlamat tertinggi kehidupan.








