Accessibility Tools

Skip to main content

Ahli Parlimen Bachok, YB Mohd Syahir Che Sulaiman


YB Syahir komited bawa lebih banyak peruntukan untuk pembangunan Bachok

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 11 Januari – Ahli Parlimen Bachok YB Mohd Syahir Che Sulaiman menyatakan komitmennya untuk membawa lebih banyak peruntukan ke Bachok bagi memperkasakan pembangunan daerah itu, di samping memastikan momentum positif yang dicapai kini dapat diteruskan sepanjang tahun 2026.

Beliau berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi menambah baik prasarana, kemudahan asas dan sokongan kepada sektor-sektor utama di Bachok.

“Insya Allah di parlimen, saya akan usahakan supaya lebih banyak peruntukan dapat disalurkan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kementerian Pertanian, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menambah baik prasarana dan kemudahan,” katanya menerusi laman rasmi, hari ini.

Menurutnya, peruntukan itu penting bagi menyokong perkembangan Bachok yang kini semakin menjadi pilihan sebagai tuan rumah pelbagai acara pelancongan, kebudayaan, kesukanan dan pertanian di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

YB Syahir juga memaklumkan bahawa pihaknya turut memikirkan pendekatan terbaik untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Bachok dan pada masa yang sama memastikan setiap kunjungan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Katanya, limpahan tersebut dapat dinikmati melalui peluang perniagaan kecil, peningkatan aktiviti ekonomi komuniti serta peluang pekerjaan yang wujud hasil penganjuran pelbagai program dan acara.

“Alhamdulillah, berkat usaha pelbagai pihak, khususnya Kerajaan Negeri, ADUN-ADUN dan Ketua Jajahan, Bachok kini semakin menjadi pilihan sebagai tuan rumah penganjuran pelbagai acara pelancongan, kebudayaan, kesukanan dan pertanian,” ujarnya.

Beliau berharap usaha-usaha yang dirancang akan terus memperkukuh kedudukan Bachok sebagai destinasi pelancongan, pusat aktiviti komuniti serta pemangkin ekonomi rakyat setempat pada tahun-tahun akan datang.