Kerja-kerja penurapan jalan utama Gua Musang dalam masa terdekat
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 11 Januari – Kerja-kerja penurapan jalan utama di Gua Musang, khususnya laluan sementara di bawah Projek Central Spine Road (CSR) Pakej 3, dijadualkan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, aduan berkaitan kerosakan jalan dikenal pasti di jajaran Projek CSR Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang, melibatkan Seksyen 3D dari Bulatan Gua Musang ke Mentara yang berada di bawah seliaan Unit Projek Khas Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
“Jajaran berkenaan merupakan laluan sementara (Temporary Road Diversion) dan kerja-kerja penurapan akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya menerusi media sosial, pada Sabtu.
Beliau menjelaskan, pihak JKR memaklumkan bahawa kesesakan lalu lintas yang berlaku pada 28 Disember 2025 adalah berpunca daripada peningkatan mendadak jumlah kenderaan sempena musim cuti panjang akhir tahun, sekali gus memberi tekanan tinggi kepada aliran trafik di kawasan tersebut.
“Bagi menangani isu keselamatan dan keselesaan pengguna, JKR telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan melibatkan pengukuhan lapisan bawah tanah (subbase) serta lapisan campuran agregat (crusher run) sepanjang kira-kira 25 hingga 30 meter, dan kerja berkenaan telah siap sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, laluan tersebut masih menunggu pelaksanaan kerja penurapan akhir menggunakan premix. Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan, terutamanya di kawasan peralihan permukaan jalan, bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan.
“JKR kini dalam proses menyelesaikan kerja penurapan premix dalam tempoh terdekat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan sentiasa diberi keutamaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi Pelan Pengurusan Trafik yang dipaparkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan serta mengelakkan kesesakan melampau di lokasi berkenaan.








