MB Kelantan lancar tiga naskhah penting sempena Amanat Tahun Baharu 2026
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud melancarkan tiga naskhah penting sebagai inisiatif strategik Kerajaan Negeri Kelantan sempena Amanat Tahun Baharu 2026 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan, di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kota Darulnaim, hari ini.
Pelancaran tersebut melibatkan Dasar Penerangan Negeri Kelantan (DPNK) dan Portal Info Rakyat Kelantan, Modul Smart Itqan serta Mushaf Darul Naim, yang masing-masing mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem penerangan, pembangunan nilai insan dan penghayatan al-Quran dalam pentadbiran serta kehidupan masyarakat.
Dalam amanatnya, Menteri Besar menegaskan peranan strategik jentera penerangan kerajaan sebagai medium utama penyampaian maklumat yang tepat, berwibawa dan berintegriti kepada rakyat.
“Jentera penerangan mesti menjadi suara kerajaan yang berwibawa, menyampaikan dasar dan pencapaian secara jujur, tersusun dan berintegriti agar rakyat benar-benar memahami usaha dan kejayaan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Pelancaran Dasar Penerangan Negeri Kelantan (DPNK) dan Portal Info Rakyat Kelantan
Beliau berkata, pelaksanaan DPNK bersama Portal Info Rakyat Kelantan diharap dapat memperkukuh ekosistem komunikasi kerajaan negeri serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap maklumat rasmi yang disampaikan.
DPNK diterbitkan sebagai dokumen dasar yang menjadi panduan dan rujukan utama kepada semua jabatan, agensi serta warga pentadbiran negeri dalam merangka strategi penerangan yang berkesan, patuh syariah dan selari dengan keperluan semasa, berteraskan prinsip benar, jelas dan beretika.
Seiring dengan itu, Portal Info Rakyat Kelantan dibangunkan sebagai platform sehenti yang memaparkan maklumat semasa kerajaan negeri, termasuk pelbagai inisiatif kebajikan dan perkhidmatan daripada lebih 50 jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat negeri dan Persekutuan.
Turut dilancarkan ialah Modul Smart Itqan, sebuah modul bimbingan psikologi berasaskan pendekatan pemikiran Imam Al-Ghazali yang dibangunkan oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) dengan kerjasama kumpulan penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta sokongan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Pelancaran Modul Smart Itqan
Pelancaran Mushaf Darul Naim
Selain itu, Mushaf Darul Naim terbitan Yayasan Islam Kelantan juga diperkenalkan sebagai mushaf pertama yang menampilkan terjemahan jawi per kata dengan ejaan terkini, bagi memudahkan pembaca memahami makna al-Quran dengan lebih jelas. Mushaf ini disusun mengikut Rasm Uthmani, riwayat Hafs ‘an ‘Asim, serta telah mendapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pelancaran Mushaf Darul Naim turut melambangkan iltizam Kerajaan Negeri Kelantan dalam memartabatkan al-Quran, memperkasa tulisan jawi dan memelihara warisan keilmuan Islam sebagai asas pembinaan masyarakat berilmu dan berakhlak untuk generasi masa kini dan akan datang.
















