Accessibility Tools

Skip to main content

Pembangunan fizikal Kelantan seiring arus nasional

Oleh: Asri Hamat 

KOTA DARULNAIM, 8 Januari - Pembangunan fizikal di Kelantan terus berkembang seiring arus pembangunan nasional, hasil pelbagai inisiatif baharu yang dirangka dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama erat kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, usaha berterusan itu bertujuan memajukan negeri dari segi ekonomi, sosial dan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, antara projek utama yang sedang giat dilaksanakan ialah pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu–Kuala Krai bagi pakej Ketereh–Kok Lanas yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Selain itu, pada tahun 2026, tumpuan pembangunan akan turut diberikan kepada Tok Bali, Pasir Puteh sebagai kawasan ekonomi baharu yang berpotensi tinggi. Inisiatif ini selari dengan perkembangan pesat di kawasan tersebut, khususnya dengan jangkaan siapnya Tok Bali Industrial Park (TBIP) pada suku ketiga tahun 2026."

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2026 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebuah taman perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sungai Bagan, Machang kini berada dalam fasa akhir pembinaan infrastruktur asas dan dijangka sedia untuk menerima kemasukan pelabur.

Mengulas sektor pertanian, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan sektor berkenaan melalui pembangunan aktiviti hiliran bagi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian.

“Antara inisiatif yang dirancang ialah cadangan penubuhan Collecting, Processing and Packaging Centre (CPPC) di Lojing. Pusat ini bertujuan memperluas peluang ekonomi, meningkatkan daya saing hasil pertanian serta memantapkan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan bernilai tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean turut menegaskan harapan kerajaan negeri agar semua projek pembangunan di peringkat negeri dan persekutuan dapat dilaksanakan secara teratur, profesional serta mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, penekanan terhadap ketelusan, keberkesanan penyelarasan antara agensi, pematuhan tatakelola semasa dan pemantauan berterusan amat penting bagi memastikan setiap inisiatif bukan sahaja mencapai objektif, malah memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Dengan pelaksanaan projek yang lancar dan terancang, kita yakin Kelantan mampu melangkah lebih jauh dalam agenda pembangunan jangka panjang,” jelasnya.