Pembangunan modal insan perkhidmatan awam berteraskan kompetensi, teknologi dan nilai Islam
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 8 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkasa pembangunan modal insan perkhidmatan awam secara bersepadu dengan menekankan kompetensi, kepimpinan, penguasaan teknologi serta penghayatan nilai, selari dengan falsafah pembangunan negeri yang mengutamakan keupayaan insan, keutuhan akhlak dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal berkata, usaha berterusan itu digerakkan berpandukan Pelan Operasi Latihan (POL) 2025–2030 yang menjadi dokumen rujukan utama bagi memastikan pelaksanaan latihan penjawat awam dilaksanakan secara tersusun, sistematik dan berfokus.
Menurutnya, dalam usaha memperkukuh barisan kepimpinan perkhidmatan awam negeri, sebanyak 15 pegawai tadbir negeri telah diamanahkan mengikuti program pengajian bagi meningkatkan kompetensi dan kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran organisasi yang semakin kompleks dan dinamik.
“Program Master of Professional Management hasil kerjasama strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya dilaksanakan, menyaksikan kesemua pegawai berkenaan dianugerahkan Ijazah Sarjana pada Majlis Istiadat Konvokesyen USM Ke-69 pada 1 Disember 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2026 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri kekal komited memperkasakan pembangunan nilai dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam berteraskan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diperkukuh melalui pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
“Pelaksanaan Program Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) akan diteruskan sebagai teras pembudayaan kerja berintegriti, di samping membuka peluang kepada penjawat awam menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan APEL.Q yang mengiktiraf pembelajaran berasaskan pengalaman,” katanya.
Dalam aspek pendigitalan, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut memberi penekanan serius terhadap penguasaan teknologi, termasuk kemahiran kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
“Melalui pendekatan data-driven governance, pembudayaan latihan AI serta pembangunan dua inisiatif utama secara berfasa iaitu Kelantan Smart AI Assistance dan Kelantan Integrated Smart Data Hub, perkhidmatan awam negeri akan bergerak ke arah sistem yang lebih pantas, berasaskan bukti dan mesra rakyat,” ujarnya.
Seiring perkembangan tersebut, katanya, pengukuhan infrastruktur digital dan keselamatan siber turut diberi keutamaan, termasuk perancangan penubuhan Unit Keselamatan Siber Kerajaan Negeri serta penyelarasan seni bina digital negeri bagi memastikan pelaksanaan teknologi AI dilaksanakan secara selamat, beretika dan berintegriti.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi mempermudah urusan perkhidmatan serta memperkukuh sistem penyampaian kepada rakyat.
“Keseluruhan agenda reformasi ini berteraskan prinsip UMI, dengan nilai-nilai Islam sebagai tunjang tadbir urus negeri yang berintegriti, cekap dan berkesan,” ujarnya.














