Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan setuju Perintah Khidmat Masyarakat untuk pesalah buang sampah

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 4 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan secara dasar telah bersetuju dengan pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat sebagai hukuman tambahan kepada denda sedia ada bagi kesalahan membuang sampah merata-rata atau dari kenderaan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata pelaksanaan tersebut adalah selaras dengan pindaan di bawah Seksyen 73(1)(a)(ii) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, melalui pindaan berkenaan, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, selain hukuman denda yang telah ditetapkan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah

“Perintah Khidmat Masyarakat ini merangkumi aktiviti berkaitan kebersihan antaranya mengutip sisa pepejal, mencuci kawasan awam, memotong rumput serta membersihkan sarang labah-labah.

"Penjadualan dan pengawasan pelaksanaan pula akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi beliau, pada Khamis lalu.

Tambah YB Hilmi, mana-mana pesalah yang enggan, melawan, gagal mematuhi atau melarikan diri daripada menjalani Perintah Khidmat Masyarakat merupakan satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang telah dipinda dan boleh dikenakan tindakan lanjut.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan perintah itu bukan sekadar bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai pendekatan mendidik bagi menanam kesedaran, tanggungjawab serta rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

“Hal ini juga sebagai penghargaan kepada majoriti rakyat yang sentiasa menjaga kebersihan, dengan mengenakan tindakan tegas kepada segelintir pihak yang masih degil dan gagal mematuhi peraturan dalam menjaga kebersihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, YB Hilmi turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat ini menjadi titik perubahan kepada sikap masyarakat terhadap isu kebersihan.

“Semoga Tahun Baharu 2026 ini dapat melahirkan rakyat Kelantan yang cintakan kebersihan,” ujarnya.