Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan 2026 lebih fleksibel bantu rakyat miliki rumah
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 5 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan (RMMK) 2026 yang lebih fleksibel bagi menangani peningkatan kos pembinaan dan cabaran pembiayaan perumahan, sekali gus memperluaskan peluang rakyat memiliki kediaman sendiri.
Dasar berkenaan berjaya disiapkan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan Bilangan 3/2025 sebelum dipersetujui untuk diterima pakai melalui persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan Bilangan 27/2025.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, penggubalan dasar baharu itu dibuat berikutan kenaikan mendadak kos bahan binaan, upah buruh serta harga hartanah, selain penilaian pembiayaan yang semakin ketat oleh pihak bank dan institusi kewangan.
“Situasi semasa ini menuntut satu pendekatan dasar yang lebih anjal dan realistik agar lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina dan ditawarkan kepada pembeli tanpa membebankan mereka,” katanya menerusi media sosial pada Khamis.
Menurutnya, Dasar RMMK 2026 yang akan berkuat kuasa mulai tahun ini memberi penekanan kepada pembinaan dan penawaran rumah mampu milik melalui dua kaedah utama iaitu jualan terus dan skim sewa milik (rent to own).
“Langkah ini bertujuan memastikan setiap keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, berpeluang memiliki rumah kediaman dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Kata YB Hilmi lagi, satu perbincangan telah diadakan bersama Pengarah Bahagian Perumahan Negeri Kelantan Nik Azhar Nik Abdul Aziz bagi menetapkan tarikh yang sesuai untuk pelancaran rasmi Dasar RMMK 2026 oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Untuk rekod, Dasar Rumah Mampu Milik Kelantan mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan telah melalui satu pindaan pada tahun 2020 bagi menyesuaikan keperluan semasa.












