Pembakaran sampah dalam tong awam, MDM ambil tindakan tegas
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 5 Januari – Majlis Daerah Machang (MDM) memandang serius perbuatan pembakaran sampah yang dilakukan di dalam serta di sekitar tong sampah milik majlis, sebagaimana yang tular menerusi gambar di media sosial.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi MDM semalam, perbuatan tersebut jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam yang disediakan khusus bagi tujuan pelupusan sampah secara berhemah dan terkawal.
MDM memaklumkan, pembakaran sampah di dalam tong sampah awam bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda awam, malah berpotensi mengakibatkan kebakaran merebak, pencemaran udara serta gangguan kesihatan kepada penduduk setempat.
Keadaan itu turut menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya selain mengganggu kelancaran operasi kutipan sampah apabila tong sampah yang rosak tidak lagi dapat digunakan mengikut fungsi asalnya.
Susulan kejadian tersebut, Yang Dipertua Majlis Daerah Machang Mohd Zamri Ibrahim bersama pihak pengurusan telah turun padang ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan sebenar serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan insiden berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, perbuatan membakar sampah di dalam tong sampah milik MDM merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta Undang-Undang Kecil Vandalisme (Majlis Daerah Machang) 1998 yang sedang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, MDM menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pengeluaran kompaun serta pendakwaan terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.
Dalam pada itu, orang ramai diseru agar menggunakan kemudahan tong sampah dengan cara yang betul dan bertanggungjawab serta menghentikan sepenuhnya amalan pembakaran terbuka.














