Mangsa kebakaran rumah terima bantuan segera kerajaan negeri
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 5 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran rumah Mohd Sabri Deraman, 41, dan isteri Azwani Awang, 37, serta empat anaknya di kampung Banggol Ketereh, Tanah Merah apabila sebuah rumah yang disewanya musnah sepenuhnya dalam kebakaran pada petang Sabtu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman melawat kediaman mangsa bagi menyampaikan sumbangan segera daripada Tabung Serambi Mekah Negeri Kelantan sebagai tanda sokongan moral dan bantuan awal kepada keluarga terlibat.
Menurutnya, kejadian itu amat menyentuh perasaan apabila rumah berkenaan dilaporkan hangus dijilat api dalam tempoh kira-kira 12 minit sahaja.
“Walaupun kebakaran berlaku dengan sangat pantas, kita bersyukur kerana tiada sebarang korban jiwa dilaporkan. Semua penghuni berjaya menyelamatkan diri dan berada dalam keadaan selamat,” katanya menerusi media sosial pada Ahad, selepas berziarah mangsa.
Beliau berkata, sumbangan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban mangsa selain membantu mereka meneruskan kehidupan.
Dalam pada itu, Dato' Md Anizam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertindak pantas memadamkan kebakaran serta turut serta dalam lawatan berkenaan.
“Semoga segala jasa dan pengorbanan semua pihak yang terlibat diberikan ganjaran sebaik-baiknya,” katanya.












