Accessibility Tools

Skip to main content

112 anak yatim DUN Wakaf Bharu terima sumbangan zakat

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN

WAKAF BHARU, 5 Januari – Sebanyak 112 anak yatim dalam Dewan Negeri (DUN) Wakaf Bharu menerima sumbangan zakat menerusi satu majlis penyampaian yang berlangsung pagi ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, program berkenaan merupakan inisiatif kebajikan bagi membantu meringankan beban serta menyantuni golongan anak yatim di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, pagi ini berlangsung majlis penyampaian sumbangan zakat kepada 112 orang anak yatim dalam DUN Wakaf Bharu,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi, hari ini.

Menurutnya, zakat tersebut adalah sumbangan daripada Pengarah Urusan SK Frozen & Trading SDN BHD merangkap pemilik New Cottage Restaurant and Hall dan Restoran Cili Hijau.

"Bagi pihak DUN Wakaf Bharu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Haji Khairil Anwar bin Ismail bersama isteri, Puan Hajah Masturah binti Abd Rahman atas keikhlasan dan kemurahan hati menyampaikan zakat kepada anak-anak yatim ini," ujarnya.

YB Mohd Rusli turut mendoakan agar segala kebaikan dan sumbangan yang diberikan menjadi asbab keberkatan, dilimpahkan rezeki yang berpanjangan, kejayaan berterusan dalam perniagaan serta sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT.