MAIK zahir penghargaan kepada pembayar zakat dan pewakaf
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 4 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan pewakaf yang telah menunaikan amanah dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab.
MAIK menjelaskan, bahawa setiap sumbangan yang disalurkan bukan sekadar berbentuk kewangan, sebaliknya menjadi sumber harapan kepada golongan yang diuji, pengubat kesedihan insan memerlukan serta sinar baharu kepada keluarga yang sedang berjuang meneruskan kelangsungan hidup.
“Daripada tangan-tangan yang memberi inilah lahirnya senyuman, doa dan kekuatan untuk mereka bangkit menghadapi kehidupan. Sumbangan zakat dan wakaf yang diterima telah memberi impak besar dalam usaha membantu asnaf dan memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat,” jelas kenyataan rasmi MAIK menerusi media sosial pada Khamis.
MAIK turut menegaskan bahawa zakat dan wakaf yang ditunaikan menjadi asbab kebaikan berpanjangan, bukan sahaja menghubungkan hati antara pemberi dan penerima, malah menyemai nilai ihsan, kebersamaan dan kepedulian sosial dalam masyarakat.
Sehubungan itu, MAIK mendoakan agar semua pembayar zakat dan pewakaf dikurniakan keberkatan yang berterusan, diluaskan rezeki yang halal lagi diberkati serta dibalas dengan ganjaran berlipat ganda di dunia dan akhirat.
Penghargaan tersebut disampaikan oleh pengurusan dan seluruh warga kerja MAIK sebagai tanda terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan daripada masyarakat.
Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, MAIK telah mengagihkan sebanyak RM174.5 juta berbanding RM131.5 juta bagi tempoh yang sama pada tahun 2024.








