Khitan Perdana DUN Temangan himpun 130 peserta
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media TMB
MACHANG, 4 Januari – Suasana penuh ceria dan menyentuh hati mewarnai Program Khitan Perdana DUN Temangan apabila gelagat kanak-kanak yang pelbagai ragam, ada yang tersenyum berani, ada yang menggenggam erat tangan ibu dan ada juga yang cuba menenangkan diri, menghiasi majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Temangan pada 1 Januari.
Program berkenaan menghimpunkan seramai 130 peserta, hasil tajaan sepenuhnya oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keberanian dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta amat mengagumkan meskipun masing-masing berdepan perasaan gementar.
“Bukan senang nak lihat senyuman penuh keberanian macam ini. Ada yang berdebar sampai jantung berdegup laju, ada yang terkekeh menahan rasa gugup, ada yang cuba nampak santai padahal dalam hati kecil masih gemuruh,” katanya di laman rasmi pada Khamis.
Menurutnya, pelbagai gelagat mencuit hati itu mencerminkan keikhlasan dan keazaman anak-anak dalam menunaikan sunnah Rasulullah SAW sejak usia muda.
“Ada yang pegang tangan ibu, ada yang tersengih-sengih macam hero. Itulah adik-adik semua, hebat menunaikan sunnah Rasulullah dalam majlis khatan perdana hari ini, dengan semangat dan keberanian yang mengagumkan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa keseluruhan kos program Khitan Perdana DUN Temangan itu ditaja sepenuhnya oleh Pusat Khidmat ADN Temangan sebagai sebahagian usaha kebajikan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
“Alhamdulillah seramai 130 peserta telah ditaja sepenuhnya oleh Pusat Khidmat ADUN Temangan dan syukur majlis berjalan lancar serta penuh keberkatan Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran program berkenaan.
“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat, termasuk penghulu, pasukan perubatan, bomba, muslimat, pemuda dan semua yang menyokong secara langsung atau tidak langsung. Usaha semua menjayakan majlis ini dengan sempurna,” katanya.
















