Kesedaran saringan awal kanser wanita dipertingkat - Dato' Rohani
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 4 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan terus komited mempertingkatkan tahap kesihatan masyarakat dengan membina gelombang kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal kanser, khususnya dalam kalangan wanita di negeri ini.
Demikian kenyataan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim menerusi media sosial pada Sabtu.
Jelasnya, usaha itu penting memandangkan wanita merupakan tunjang kesejahteraan keluarga, pendidik kepada anak-anak serta nadi kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera.
Beliau juga menegaskan wanita tidak seharusnya berasa malu atau menunggu sehingga mengalami simptom sebelum mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“Jangan malu, jangan tunggu sakit. Pergi buat pemeriksaan. Ikhtiar itu sebahagian daripada tuntutan agama.
“Usaha pencegahan dan saringan awal adalah langkah paling penting yang perlu kita sama-sama ambil,” katanya.
Menurutnya lagi, pengesanan awal mampu meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan sekali gus menyelamatkan nyawa, selain mengurangkan beban emosi dan kewangan keluarga.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik serta memelihara para wanita dan keluarga seluruhnya.
Terdahulu, Dato’ Rohani merasmikan Program Pendidikan Kesihatan Wanita: Saringan Kanser Serviks dan Kanser Payudara yang berlangsung di Klinik Kesihatan Lundang Paku.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran wanita mengenai kepentingan pemeriksaan berkala, di samping menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.














