Kerajaan Kelantan arah tindakan segera ganti titi gantung Lata Rek
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media YB Abdul Latif Abdul Rahman
KOTA DARULNAIM, 3 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap semua mangsa yang terlibat dalam kejadian runtuhan sebuah titi gantung di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai pada Jumaat lalu.
Insiden itu mengakibatkan beberapa orang awam cedera serta menjejaskan akses harian penduduk setempat.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan memastikan tindakan segera diambil bagi menjamin keselamatan penduduk serta kemudahan awam di kawasan itu.
Menurutnya, Ahli Dewan Negeri (ADN) Manik Urai YB Fauzi Abdullah serta Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latif Abdul Rahman telah turun padang sejurus kejadian berlaku bagi menggerakkan tindakan awal, termasuk membantu mangsa serta menilai tahap keselamatan kawasan terlibat.
“Kerajaan Negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman dan arahan segera supaya penggantian titi gantung berkenaan dilaksanakan dengan kadar segera demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras semua urusan berkaitan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kerja-kerja penggantian jambatan dapat disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kebajikan rakyat serta memastikan kemudahan awam yang selamat dan berfungsi dapat disediakan dengan sebaiknya.
“Saya mendoakan semoga semua mangsa diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. In sha Allah , dengan kerjasama erat semua pihak, penyelesaian dapat dilaksanakan dengan pantas,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media pada Jumaat memaklumkan bahawa Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya peruntukan segera disediakan bagi menggantikan titi gantung berkenaan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Menurut kenyataan itu, kerja-kerja penggantian jambatan akan dilaksanakan oleh ICU, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas dan berkesan, selain menjamin keselamatan serta akses penduduk setempat.
Media sebelum ini melaporkan, kejadian runtuhan titi gantung di Lata Rek berlaku pada Jumaat ketika rombongan tetamu pengantin lelaki dan perempuan bertembung di atas jambatan berkenaan.
Insiden itu menyebabkan lebih 50 individu terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, dengan seorang lelaki dilaporkan mengalami patah kaki akibat terhempas ke atas batu sungai, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala dan menerima beberapa jahitan. Tiga mangsa lain turut mengalami kecederaan ringan serta sesak nafas.














