Accessibility Tools

Skip to main content

2026: Kelantan dipacu ke arah Hayatan Toyyibah – MB Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 1 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan tema “Memacu Kelantan ke Arah Hayatan Toyyibah” sebagai teras hala tuju Tahun Baharu 2026, selari dengan tuntutan penghayatan Islam yang menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru seluruh rakyat negeri ini agar merenungi firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 97 yang menjadi asas dan roh kepada tema tersebut.

Firman Allah SWT:
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ ‎﴿٩٧﴾

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.”

Menurutnya, Tahun Baharu 2026 wajar dijadikan titik tolak untuk memperkukuh iltizam dan tekad bersama dalam membangunkan Kelantan berteraskan penghayatan Islam yang seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Dalam kenyataan sempena Tahun Baharu 2026, beliau menegaskan bahawa pembukaan lembaran baharu ini perlu disambut dengan penuh kesyukuran sebagai manifestasi keazaman memperkemaskan perancangan pentadbiran dan pembangunan negeri agar kekal selari dengan hala tuju yang telah digariskan.

“Membuka lembaran baharu 2026 pada hari ini dengan penuh kesyukuran merupakan manifestasi keazaman untuk memperkukuh iltizam dan tekad demi membangunkan serta memajukan negeri Kelantan yang kita cintai. Langkah yang diatur perlu melalui proses koreksi secara menyeluruh khususnya dalam aspek perancangan pentadbiran dan pembangunan negeri bagi mencapai hala tuju yang telah digariskan,” katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa Pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) bagi tahun 2026 perlu dipacu dengan pendekatan yang lebih agresif dan berstrategi, berpandukan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028.

“Pentadbiran Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) bagi tahun 2026 perlu dipacu dengan lebih agresif dan berstrategi, berpandukan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028. Dalam hal ini, konteks pelaksanaan serta penyelarasannya perlu diperkemaskan agar inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, agenda pengukuhan PMBI hendaklah digarap secara menyeluruh merangkumi pembangunan infrastruktur, sosial, pendidikan dan ekonomi, di samping memastikan dasar pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan secara berkesan dan berintegriti.

“Di samping itu, agenda pengukuhan PMBI sama ada dalam aspek pembangunan infrastruktur, sosial, pendidikan mahu pun ekonomi hendaklah digarap secara bersama dengan memastikan dasar pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan sebaik-baiknya bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri,” katanya.

Menyentuh cabaran semasa, Menteri Besar menegaskan keperluan kembali kepada penyelesaian Islam secara menyeluruh dalam mendepani realiti kehidupan moden, khususnya dalam era kepantasan teknologi dan perubahan sosial yang pantas.

“Menyedari cabaran kehidupan lebih-lebih di zaman kepantasan teknologi, saranan agar kembali kepada penyelesaian Islam secara menyeluruh merupakan formula yang berkesan dan sentiasa segar pada setiap peredaran zaman, dan hendaklah disesuaikan dalam setiap agenda bertindak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa komitmen berterusan kerajaan negeri untuk mengemudi pentadbiran berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam yang telah terbukti keberkesanannya sejak sekian lama.

“Justeru, Kelantan terus komited serta optimis dengan dasar Membangun Bersama Islam dalam mengemudi bahtera pentadbiran kerajaan negeri yang telah terbukti keberkesanannya. Marilah kita rapatkan saf untuk mengukuhkan kesatuan ummah dan setiap rakyat perlu memainkan peranan masing-masing berkhidmat untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Tahun 2026 akan membawa nafas baharu yang lebih segar dalam merealisasikan konsep hayatan toyyibah atau kehidupan yang baik, seimbang dan diberkati.

“Mudah-mudahan tahun 2026 membawa nafas yang semakin segar bagi merealisasikan ‘hayatan toyyibah’ atau kehidupan yang baik sama ada kehidupan di dunia mahu pun di akhirat. Marilah kita bersama-sama berdoa agar negeri Serambi Mekah ini terus dikurniakan keberkatan, keamanan dan kemakmuran,” ujarnya.