Pembangunan insan asas pembinaan negara dan tamadun - Habib Ali Zainal Abidin
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 1 Januari - Pembangunan sesebuah negara dan tamadun tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan insan, kerana nilai dan kualiti manusia menjadi teras kepada segala bentuk kemajuan, kata Pengerusi Yayasan ar-Riayah Habib Ali Zainal Abidin.
Menurutnya, sebelum sesuatu bangsa mengejar kemajuan material, teknologi atau ekonomi, pembangunan insan perlu diberi keutamaan. Hal ini kerana insan merupakan penggerak utama yang menentukan hala tuju sesebuah tamadun.
“Teknologi yang canggih sekalipun, jika berada di tangan insan yang rosak, akan digunakan untuk menipu dan menindas orang lain. Begitu juga ilmu kedoktoran, jika dimiliki oleh insan yang tidak beriman, berkemungkinan digunakan semata-mata untuk keuntungan kebendaan tanpa rasa tanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia."
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah khas sempena Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026: Anak Muda Kelantan Berselawat di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa insan memainkan peranan penting di atas muka bumi sebagai khalifah yang dipilih oleh Allah SWT. Oleh itu, pembangunan insan perlu bermula daripada pembinaan hati, akhlak dan keimanan sebelum membangunkan struktur tamadun yang besar.
Tambahnya, sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan Andalusia berlaku akibat kerosakan dalaman insan-insan tertentu yang gagal membangunkan hati dan jati diri mereka, sekali gus menjadi punca keruntuhan sebuah tamadun yang gemilang.
“Insan yang mampu membangunkan tamadun adalah insan yang hatinya telah terbangun, memiliki iman, integriti dan tanggungjawab," jelasnya.
Katanya lagi, langkah untuk membina dan membangunkan insan adalah memperkuat tali perhubungan anak muda dengan Allah SWT melalui iman dan ilmu.
“Iman yang bersatu dalam hati dan sanubari tidak boleh dijual beli. Harga diri dan maruah insan tidak boleh dinilai dengan harta, pangkat atau kebendaan,” katanya.
Beliau berharap konsep pembangunan insan ini dapat difahami dan diaplikasikan dalam pembinaan masyarakat dan negara agar kemajuan yang dicapai bukan sahaja bersifat material, bahkan membawa kesejahteraan dan keberkatan kepada seluruh ummah.










