Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan atasi isu transit pelancong, 52 program dirancang bagi tahun 2026

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 1 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah proaktif untuk mengatasi persepsi pelancong yang menjadikan negeri ini sebagai hanya persinggahan atau transit ke destinasi lain, khususnya Pulau Perhentian.

Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan  YB Datuk Kamarudin Md Nor, kerajaan negeri merancang 52 program pelancongan bagi tahun 2026, meningkat daripada 41 program pada 2025 demi memastikan pengunjung menginap lebih lama dan menikmati pelbagai tarikan di Kota Bharu serta kawasan sekitarnya.

“Bagi perancangan program pelancongan tahun ini, ia adalah lebih banyak daripada tahun sebelumnya, melibatkan tarikan makanan, kebudayaan, ekopelancongan dan pelbagai lagi,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), hari ini.

Antara strategi utama adalah menjemput pemain industri pelancongan dari luar negara sebagai tetamu negeri untuk mengalami sendiri tarikan di Kelantan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan,  YB Datuk Kamarudin Md Nor

“Mereka akan tinggal seminggu di Kelantan dan kita akan bawa mereka jelajah ke tempat-tempat menarik di Kelantan. Supaya mereka tahu apa tarikan menarik di sini dan masukkan dalam pakej mereka,” jelasnya.

Tambahnya, langkah tersebut juga sebagai jawapan kepada isu Kelantan dianggap hanya sebagai transit bagi pelancong yang ingin ke Pulau Perhentian.

“Ini antara jawapan kepada persoalan yang berbangkit tentang isu pelancongan menjadikan Kelantan sebagai transit ke Pulau Perhentian. Ramai pemain industri luar tidak tahu tarikan di Kota Bharu dan tempat-tempat sekitar. Kalau mereka tahu lebih awal, sudah pasti mereka akan beritahu kepada ejen pelancongan supaya buat itinerari untuk 1 atau 2 hari di Kota Bharu,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri telah lana menyedari tentang perkara berkenaan.

“Perkara ini kami telah sedari lama bahawa ramai pelancong berhenti satu atau dua malam di Kota Bharu sama ada sebelum atau selepas ke Pulau Perhentian,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan negeri akan memulakan perkhidmatan bot terus dari Jeti Tok Bali ke Pulau Perhentian bermula Mac 2026, memudahkan pengunjung dan menjadikan Kota Bharu sebagai pintu masuk pelancongan yang lebih strategik.

“Sekarang ini juga kita akan adakan perkhidmatan bot dari Tok Bali ke Pulau Perhentian. Sebelum ini kena pergi ke Kuala Besut,” jelasnya.