Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan sambut pengunjung di LTSIP, tanda sedia terima 12 juta pelancong

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 1 Januari  – Kelantan memulakan tirai tahun 2026 dengan acara sambutan di pintu-pintu masuk di seluruh negara dan di hab pegangkutan utama dengan menyambut ketibaan pengunjung di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), hari ini.

Sambutan tersebut merupakan simbolik kesediaan Kerajaan Negeri menerima 12 juta pelancong sepanjang tahun ini, selari dengan pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) di peringkat nasional.

Ketibaan pengunjung disambut oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor yang turut menyempurnakan penyampaian cenderahati dan risalah pelancongan Kelantan kepada penumpang penerbangan Malaysia Airlines dan Batik Air.

Menurut Datuk Kamarudin, sambutan tersebut menjadi permulaan rasmi bagi tahun 2026 dalam usaha memperkenalkan Kelantan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, YB Datuk Kamarudin Md Nor

“Ini adalah permulaan tahun 2026 untuk kita menyambut ketibaan pengunjung dari luar ke Kota Bharu. Kerajaan Negeri bersama pihak lapangan terbang dan Tourism Malaysia mengadakan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 serta promosi melawat Kelantan,” katanya pada sidang media di LTSIP.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran penumpang terdiri daripada pelancong serta mereka yang pulang ke kampung halaman sempena cuti awal tahun.

“Alhamdulillah sambutan sangat baik. Penumpang yang tiba ada dalam kalangan pelancong dan ada juga yang pulang ke kampung halaman. Saya lihat mereka menerima cenderahati yang diberikan dengan baik dan gembira dengan sambutan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sasaran pengunjung ke Kelantan bagi tahun 2026 ditetapkan sebanyak 12 juta orang, melibatkan ketibaan melalui penerbangan domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, Kerajaan Negeri bertekad untuk memperluaskan kemasukan pelancong antarabangsa ke Kelantan melalui beberapa pintu masuk utama.

“Bagi tahun 2026, kita bertekad untuk meluaskan kemasukan pelancong antarabangsa ke Kelantan melalui pintu masuk utama iaitu Kota Bharu, Thailand, Gua Musang dan Pasir Puteh,” jelasnya.

Mengulas prestasi pelancongan sebelum ini, Datuk Kamarudin berkata statistik rasmi bagi tahun 2025 masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang lazimnya diumumkan sekitar Julai.

“Bagi anggaran tahun 2025, kita jangkakan sekitar 11 juta pelancong. Manakala bagi tahun 2024, rekod DOSM menunjukkan seramai 10.54 juta pelancong telah berkunjung ke Kelantan,” ujarnya.

Acara berkenaan turut dihadiri pemain industri pelancongan termasuk para pegawai Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Pejabat MOTAC Negeri Kelantan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan (JKKN) serta Malaysian Association of Hotels Kelantan Chapter (MAH Kelantan Chapter).