TEKAD 2026: Perbanyak amal kebajikan, PMBI diperkukuh secara berstrategik
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 1 Januari – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio yang dipengerusikannya, komited memperkukuh Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) secara berstrategik sebagai teras pembangunan negeri menjelang Tahun Baharu 2026.
Komitmen itu dizahirkan menerusi pelancaran visual Tekad 2026: Perbanyakkan Amal Kebajikan, yang mengangkat pesanan al-imam Fudhail bin ‘Iyadh sebagai peringatan bahawa perubahan hakiki bermula daripada diri sendiri dengan memanfaatkan baki usia dan peluang untuk memperbanyakkan kebaikan.
Beliau berharap agar tahun 2026 menjadi fasa pengukuhan yang lebih tersusun dan berimpak, khususnya dalam memastikan PMBI benar-benar meresap ke peringkat akar umbi.
“PMBI Tahun 2026 Yang Lebih Berstrategik,” katanya ketika mengulas hala tuju portfolio tersebut susulan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, pada Rabu.
Beliau juga memaklumkan bahawa Mesyuarat Exco Kali ke-27 dan yang terakhir bagi tahun 2025 memberi tumpuan menyeluruh terhadap hal ehwal pentadbiran negeri, kesejahteraan rakyat serta kedudukan kewangan kerajaan, termasuk agenda mempermudah urusan rakyat khususnya berkaitan permohonan tanah.
“Mesyuarat Exco Kali-27 dan akhir bagi tahun 2025 pagi ini banyak membincangkan hal ehwal pentadbiran, kesejahteraan rakyat, kewangan kerajaan termasuk agenda mempermudahkan permohonan rakyat dalam urusan berkaitan tanah,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan harapan agar memasuki tahun baharu, pelaksanaan seluruh portfolio dapat diperkemas dengan pendekatan yang lebih strategik dan menyeluruh.
“Semoga tahun 2026 lebih memantapkan perjalanan seluruh portfolio dan penerapan PMBI peringkat akar umbi tercapai objektifnya, insya-Allah,” ujarnya di laman rasmi, hari ini.












