Rakyat Kelantan teruja mohon lesen mendulang emas
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 1 Januari – Sambutan rakyat Kelantan terhadap peluang mendulang emas menunjukkan keterujaan dan minat yang menggalakkan hari ini apabila ramai hadir ke Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan (PTG), Kota Darulnaim untuk mengambil borang permohonan lesen mendulang emas.
Langkah itu susulan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan pada 31 Disember 2025, bahawa rakyat Kelantan yang berminat untuk mendulang emas boleh mengemukakan permohonan lesen bermula 1 Januari 2026.
Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, pemilik Teney Glamping di Jeli, berkata beliau ingin mencuba aktiviti mendulang emas walaupun tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.
Ahmad Fauzan Mohd Zain, 48, Pemilik Teney Glamping Jeli
"Saya tiada pengalaman mendulang emas cuma ada sedikit ilmu tentang emas. Saya nak cuba buat kerana saya ada buka glamping di kawasan itu jadi saya berkesempatan untuk cuba," katanya ketika ditemu bual, hari ini.
Tambahnya, ramai pelanggannya meminta supaya aktiviti itu dianjurkan khusus kerana tidak semua orang mempunyai ilmu tentang mendulang emas.
Ahmad Fauzan turut berharap kerajaan dapat mengeluarkan kawasan-kawasan yang digazetkan dan menjelaskan sama ada ia melibatkan kawasan persendirian atau hanya sungai-sungai tertentu.
Mohd Yusof Hasan , 53, Tumpat
Mohd Yusof Hanan, 53, penduduk Sungai Pinang, Tumpat pula berkongsi keterujaannya untuk mencuba aktiviti baharu ini.
"Saya tidak biasa lagi mendulang emas, tapi teruja lah. Peralatan tu ada dah. Sebelum ni saya ada pergi tengok-tengok sahaja tempat-tempat, tetapi tidak boleh mendulang lagi sebab tiada lesen," katanya.
Mohd Yusof yang bekerja sebagai tukang emas selama empat hingga lima tahun melihat peluang lesen mendulang emas sebagai satu cara untuk menambah pengalaman dan pendapatan.
Khalil Abdullah , 42, Tanah Merah
Bagi Khalil Abdullah, 42, dari Tanah Merah, peluang ini dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk membantu pembangunan ekonomi penduduk kampung.
"Kerajaan usaha dah satu jalan untuk orang kampung, untuk kemajuan orang Kelantan. Jadi saya sokong dan datang mohon lesen mendulang emas ni untuk mencari pendapatan bagi keluarga," ujarnya.














