Persembahan Dikir Barat berkala tarikan pelancongan - YB Hilmi
-
24 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
33
KOTA DARULNAIM, 24 November – Kerajaan Negeri Kelantan berhasrat mengangkat persembahan Dikir Barat sebagai salah satu tarikan pelancongan negeri menerusi penganjuran persembahan berkala dan berjadual di lokasi pelancongan serta program promosi negeri.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, Alam Sekitar, Pelancongan dan Kesenian YB Hilmi Abdullah berkata, usaha itu berpotensi memperkenalkan keunikan budaya dan kehidupan masyarakat Kelantan kepada pelancong, selain membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni tempatan.
Menurutnya, pelancong yang berkunjung ke Kelantan bukan sekadar mahu menikmati makanan tradisional, keindahan alam semula jadi atau membeli kraftangan, sebaliknya turut berminat merasai sendiri keunikan warisan budaya negeri.
“Di lokasi pelancongan, majlis sambutan delegasi, program komuniti, festival warisan dan acara promosi negeri, Dikir Barat boleh diberi tempat yang lebih bermakna.
“Saya melihat potensi untuk menganjurkan Ekspo Kesenian dan Kebudayaan Kelantan yang menghimpunkan pelbagai cabang seni warisan negeri, termasuk Dikir Barat, wayang kulit, silat, rebana dan pelbagai lagu seni tradisional yang lain,” katanya di laman rasmi, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan pertemuan bersama barisan artis, pempengaruh seni dan penggiat Dikir Barat All Stars Kelantan pada 23 November.
YB Hilmi menegaskan, penggiat seni tempatan selaku penghibur sekali gus berperanan sebagai duta pelancongan yang memperkenalkan identiti serta khazanah budaya Kelantan kepada masyarakat luar.
Katanya, melalui suara Tok Jogho, kepetahan Tukang Karut, paluan rebana dan kemeriahan awak-awak, seni Dikir Barat berjaya memperkenalkan keunikan negeri itu kepada masyarakat luar termasuk di peringkat antarabangsa.
Beliau turut melihat potensi lagu-lagu ciptaan penggiat seni tempatan sebagai medium promosi pelancongan, khususnya yang mengisahkan keindahan budaya, tradisi dan lokasi menarik di Kelantan.
Menurutnya, lagu serta muzik berkenaan turut menjadi latar kepada kandungan video masyarakat Kelantan yang dikongsikan di seluruh negara.
Dalam pada itu, YB Hilmi berkata, usaha memajukan Dikir Barat sebagai produk pelancongan perlu disertai perhatian terhadap kebajikan penggiat seni, termasuk kadar bayaran persembahan, kemudahan peralatan dan peluang menjana pendapatan.
Tambahnya, kumpulan Dikir Barat yang mempunyai antara 15 hingga 30 anggota berdepan cabaran apabila bayaran persembahan terpaksa dikongsi dalam jumlah yang kadangkala tidak setimpal dengan masa, tenaga dan latihan dicurahkan.
“Saya amat setuju dengan cadangan kadar bayaran yang lebih munasabah, kemudahan peralatan, perlindungan kebajikan dan peluang menjana pendapatan diberikan perhatian dalam usaha memperkukuh industri seni tradisional dan boleh dijadikan sebagai dasar persembahan dalam negeri,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, pertemuan bersama penggiat seni All Stars Kelantan turut menghasilkan beberapa cadangan positif yang akan diperhalusi melalui saluran serta pihak berkuasa berkaitan.
Menurut YB Hilmi lagi, kerajaan negeri mahu memastikan seni warisan terus berkembang dengan mengambil kira tuntutan syariah, adab serta nilai budaya Melayu Kelantan.
“Kita mahu Dikir Barat terus hidup, bukan sekadar menjadi nostalgia generasi terdahulu.
“Seni warisan mesti dipelihara, kebajikan seniman mesti dibela dan generasi pelapis mesti dilahirkan,” jelasnya.








