MB Kelantan bangga anak negeri raih Anugerah Pelajaran Diraja UKM
-
24 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
34
KOTA DARULNAIM, 24 November – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menzahirkan kebanggaannya dan mengucapkan tahniah kepada Wan Ahmad Zuhair Wan Yusoff atas kejayaan meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Dato' Mohd Nassuruddin, pencapaian tersebut membuktikan Kelantan mempunyai anak negeri yang berpotensi besar dalam bidang ilmu dan mampu mencapai kecemerlangan di peringkat pengajian tinggi.
“Kelantan mungkin sederhana pada zahirnya, namun kaya dengan permata ilmu, bakat dan kecemerlangan anak bangsanya,” katanya di media sosial, semalam.
Beliau memaklumkan, kejayaan Wan Ahmad Zuhair menjadi kebanggaan keluarga bahkan turut mengharumkan nama Kelantan menerusi pencapaian akademik yang membanggakan.
Menurutnya lagi, pengiktirafan berkenaan juga memperlihatkan bahawa kesungguhan menuntut ilmu mampu membuka ruang kepada anak muda untuk mencapai kejayaan dan mengharumkan nama negeri.
Menteri Besar Kelantan turut berharap pencapaian itu menjadi dorongan kepada generasi muda Kelantan untuk terus berusaha menguasai ilmu serta membina masa depan yang cemerlang.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menguasai ilmu dan mencipta kegemilangan,” ujarnya.








