Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan miliki kilang penapisan minyak sawit berkapasiti 17,000 tan sebulan

  • 23 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 46

PENGKALAN CHEPA, 23 November – Kelantan kini mempunyai satu-satunya kilang penapisan minyak sawit menerusi pembangunan Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd (LPEO) di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, berkapasiti pemprosesan sebanyak 17,000 tan metrik minyak sawit mentah sebulan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembangunan kilang berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh sektor perindustrian negeri, khususnya melalui pengembangan aktiviti hiliran yang mampu menghasilkan produk bernilai tambah lebih tinggi.

Menurutnya, pelaburan strategik itu mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan lokasi pembangunan industri yang mempunyai prospek pertumbuhan memberangsangkan.

“Majlis pada hari ini bukan sekadar kita merasmikan pembukaan sebuah kilang, bahkan sebenarnya ia merupakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh landskap perindustrian dan juga pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kami pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan sangat mengalu-alukan segala usaha seperti ini dan kita sangat ingin melihat pelabur-pelabur yang tulen dan berpotensi untuk sama-sama kita bangunkan Kelantan, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Memproses Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya lagi, pembangunan kilang berkenaan merupakan inisiatif pelaburan strategik dengan nilai keseluruhan pelaburan dan kos berkaitan dianggarkan berjumlah RM200 juta, merangkumi pembangunan, kerja-kerja menaik taraf, kemudahan perindustrian serta pelbagai komponen sokongan operasi.

Beliau berkata, potensi sebenar industri minyak sawit bukan hanya terletak pada pengeluaran bahan mentah.

“Potensi sebenar industri ini bukan hanya terletak pada pengeluaran bahan mentah semata-mata tetapi bergantung kepada keupayaan membangunkan aktiviti hiliran yang mampu menghasilkan produk dengan nilai tambah yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan kilang berkenaan turut memberikan manfaat kepada masyarakat setempat menerusi penyediaan kira-kira 200 peluang pekerjaan, termasuk 70 pekerjaan secara langsung dalam operasi kilang.

Tambahnya, kira-kira 90 peratus tenaga kerja kilang berkenaan terdiri daripada anak tempatan Kelantan, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam mengutamakan penglibatan tenaga kerja tempatan.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan jelas mencerminkan komitmen Kumpulan İKHASAS dalam mengutamakan penglibatan tenaga kerja tempatan.

“Secara tidak langsung, usaha ini memastikan bahawa manfaat pembangunan industri bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi malah turut membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri Kelantan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM100 juta lagi akan dibelanjakan bagi projek seterusnya di kawasan berkenaan, selain beberapa projek lain yang sedang dibincangkan.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap pembangunan itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan industri di Kelantan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan İKHASAS Ir. Tan Chee Kian berkata, pembukaan LPEO mencerminkan komitmen kumpulan itu untuk terus mengembangkan perniagaan dalam industri sawit, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Kelantan.

“Sejak kami menceburi industri sawit pada tahun 2017, Kumpulan İKHASAS telah berkembang secara berperingkat daripada aktiviti perladangan dan pengilangan kepada sektor hiliran. Pembukaan LPEO merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha kami melengkapkan rantaian perniagaan ini.

“Pada masa yang sama, kami berharap kehadiran LPEO dapat memberi manfaat kepada Kelantan, bukan sahaja melalui pembangunan industri hiliran sawit, tetapi juga dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat serta pengusaha tempatan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli menegaskan bahawa pembangunan industri perlu bergerak seiring dengan pematuhan perundangan, keselamatan pekerjaan dan perlindungan alam sekitar.

“Pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar hendaklah bergerak seiring. Kemajuan industri yang sebenar bukan sahaja diukur melalui peningkatan hasil dan produktiviti tetapi juga melalui keupayaan sesebuah organisasi menguruskan operasinya dalam keadaan penuh tanggungjawab,” jelasnya.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah dan ADN Melor YB Wan Rohimi Wan Daud.

Pautan berjaya disalin!