Pempengaruh rakan strategik pembangunan Kelantan
-
23 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
48
KOTA BHARU, 23 November - Golongan pempengaruh dilihat sebagai antara rakan strategik kerajaan negeri dalam membantu memperkukuh pembangunan Kelantan, termasuk mengangkat imej negeri, memperkasa ekonomi rakyat dan membina masyarakat berilmu serta berakhlak.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, terdapat lima ruang kerjasama yang boleh diberi perhatian bersama, iaitu memperkenalkan identiti dan keunikan Kelantan, memperkasa ekonomi tempatan serta usahawan kecil, mengangkat sektor pelancongan negeri, membina masyarakat berilmu dan berakhlak serta menjadi jambatan komunikasi antara kerajaan dengan rakyat.
Katanya, kerajaan negeri tidak mahu pengaruh digital hanya dimanfaatkan untuk hiburan dan mengejar populariti semata-mata, sebaliknya digunakan oleh pempengaruh bagi tujuan lebih besar yang memberi manfaat kepada masyarakat.
"Kerajaan negeri mempunyai pelbagai inisiatif, dasar dan program pembangunan yang perlu diketahui rakyat.
"Justeru, saya berharap golongan pempengaruh dapat membantu menyampaikan maklumat sahih, menjelaskan usaha pembangunan serta memberikan maklum balas masyarakat secara membina," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Pempengaruh Kelantan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-36 Pentadbiran Membangun Bersama Islam di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi (UPKN) itu menghimpunkan lebih 170 pempengaruh dari seluruh negeri.
Kata Dato' Mohd Nassuruddin lagi, kerajaan negeri turut mengalu-alukan teguran dan pandangan berasaskan fakta yang disampaikan dengan adab kerana pembangunan negeri memerlukan penyertaan seluruh lapisan masyarakat.
Katanya, semangat berkenaan selari dengan pendekatan Penghayatan Membangun Bersama Islam bagi memastikan Kelantan terus melangkah ke hadapan melalui muafakat rakyat menuju Kelantan Sejahtera 2033.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pempengaruh yang memberikan impak positif kepada negeri dalam pelbagai lapangan.
"Mudah-mudahan himpunan ini menjadi titik permulaan kepada gerakan pempengaruh Kelantan yang lebih tersusun dan berdaya saing, serta menjadikan teknologi digital sebagai instrumen untuk membangunkan ummah dan memakmurkan negeri.
"Semoga semua tindakan kita ini dikira sebagai amalan soleh yang menjadi bekalan untuk bertemu Allah SWT," katanya.
Pada majlis tersebut, Dato' Mohd Nassuruddin turut menyampaikan hadiah kepada enam pemenang pertandingan video kandungan (content) Kelantan sempena ulang tahun ke-36 pentadbiran Membangun Bersama Islam.
Setiap pemenang menerima wang tunai RM500, plak dan sijil penghargaan.
Mereka ialah Siti Zurain Muhammad Noor Hadi, Muhammad Sirajudin Asraf Muhammad Noor, Siti Mariam Muhammad Tajuddin, Muhammad Aiman Farhan Muhammad Azrin, Muhammad Fakhrul Fattah Abdul Ghani dan Muhammad Faiz Faizal Sazali.
Turut disampaikan ialah Anugerah Influencer Pilihan Kelantan 2026 sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif dan komitmen penerima dalam menyumbang kepada masyarakat serta negeri.
Penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM1,000, plak dan sijil penghargaan.
Mereka ialah Izmir Mustapha atau lebih dikenali sebagai Abe La Senok Perut, Roslan Abdul Rahman (Sifu Lan), Thanaletchumi a/p Govindasamy (Mek Manis) dan Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim (Sir Asai).
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hasan, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Baharom Nik Abdullah dan Pengarah UPKN Razuan Awang Hamad.






















