DUN Chetok dinobat johan Anugerah Karnival Cakna Rakyat 2026
-
22 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
38
KOTA BHARU, 22 November - Dewan Negeri (DUN) Chetok dinobatkan sebagai Johan Anugerah Karnival Cakna Rakyat 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.
Naib johan bersama pula disandang DUN Tawang dan DUN Kijang yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, plak serta sijil penghargaan.
Bagi kategori DUN Cemerlang, lima DUN terpilih menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan, iaitu DUN Pasir Tumbuh, Manik Urai, Semerak, Bukit Panau dan Jelawat.
Penyampaian anugerah disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hasan di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Dalam ucapan perasmian, Dato' Dr. Mohamed Fadzli berkata, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan program Karnival Cakna Rakyat berikutan sambutan yang semakin menggalakkan serta pengisian pelbagai acara yang menjadikannya program dinanti-nantikan rakyat.
Katanya, kerajaan akan cuba memikirkan pendekatan supaya program Karnival Cakna Rakyat tahun depan lebih menarik.
"Di DUN Temangan, contohnya, pada tahun ini terdapat sedikit pembaharuan apabila pengarah program diserahkan kepada wanita dan hasilnya tidak kurang hebat berbanding lelaki," katanya.
Menurutnya lagi, pendekatan program itu turut berubah daripada berkonsepkan kepartian kepada program yang lebih terbuka bagi menggalakkan penyertaan rakyat tanpa mengira fahaman politik.
"Satu masa dahulu, Karnival Cakna Rakyat berbentuk kepartian dengan mempamerkan struktur parti dan sebagainya. Namun, kita merasakan program ini seharusnya bukan program parti, sebaliknya memerlukan penyertaan semua pihak tanpa mengira parti.
"Program Karnival Cakna Rakyat adalah hak rakyat untuk hadir bersuka ria bersama-sama serta merapatkan hubungan dengan pihak Unit Daerah Mengundi (UDM), kakitangan Pusat Khidmat DUN dan Ahli Yang Berhormat," jelasnya.
Tambahnya, pendekatan mesra rakyat itu penting bagi memastikan kepimpinan lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus membantu menyatupadukan rakyat.
Selain itu, katanya, Karnival Cakna Rakyat turut menjadi platform untuk kerajaan menyampaikan bantuan kepada masyarakat sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
"Biasanya, apabila bantuan diberikan, hanya penerima dijemput. Namun, melalui Karnival Cakna Rakyat, lebih ramai dapat menyaksikan sendiri usaha kerajaan menyampaikan bantuan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
"Karnival Cakna Rakyat juga antara program yang berjaya kerana walaupun membabitkan perbelanjaan ribuan ringgit, ia turut melibatkan ribuan rakyat yang merasakan diri mereka bersama kerajaan," ujarnya.
Menurutnya lagi, Majlis Anugerah Cakna Rakyat 2026 diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada semua Pusat Khidmat DUN yang berjaya melaksanakan Karnival Cakna Rakyat sepanjang tahun ini mengikut format ditetapkan.
Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Saripudin Tuan Ismail, Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integeriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang YB Wan Rohimi Wan Daud dan Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN).
















