49 kes perlombongan haram sejak 2024 selesai, 51 masih disiasat - TMB Kelantan
-
29 October 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
45
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Sebanyak 49 daripada 100 kes perlombongan haram yang disiasat di Kelantan bagi tempoh tahun 2024 hingga 2026 telah selesai, manakala 51 kes lagi masih dalam siasatan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sepanjang tempoh tiga tahun itu, sebanyak 104 operasi penguatkuasaan dilaksanakan bagi membendung aktiviti perlombongan haram di negeri ini.
“Untuk tempoh yang berlaku 2024 sehingga 2026, kita telah mengadakan 104 operasi dan daripada situ 100 kertas siasatan telah dibuka. Daripada 100 kertas siasatan yang dibuka itu, 49 kes telah selesai dan 51 kes masih lagi dalam siasatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Beliau memaklumkan, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi berkaitan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bersama pasukan keselamatan bagi menangani kegiatan perlombongan haram, termasuk di kawasan konsesi.
Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Menurutnya lagi, tindakan penguatkuasaan di bawah Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2021 merangkumi penyitaan jentera dan tapak perlombongan, pemusnahan peralatan perlombongan haram serta penahanan dan pendakwaan pihak yang melakukan kesalahan.
Di samping itu, kadar denda dan kompaun turut ditingkatkan bagi kesalahan berulang sebagai langkah memberi pengajaran kepada pihak yang melanggar peraturan.
“Selain daripada tindakan jabatan kerajaan sebagaimana yang telah saya sebutkan tadi, kita juga membuka ruang kepada laporan daripada orang awam dan sebahagian daripada tindakan yang pernah kita ambil adalah berdasarkan laporan awam,” ujarnya.
Dato' Dr Mohamed Fadzli turut menjelaskan, langkah pencegahan dipertingkatkan melalui pemasangan papan tanda amaran dan pemantauan, termasuk penggunaan teknologi dron di kawasan berisiko.







