Accessibility Tools

Skip to main content

Strategi YIK 2026–2030 tumpu pembangunan infrastruktur sekolah – Dato’ Wan Roslan

  • 29 October 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 41

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Yayasan Islam Kelantan (YIK) merangka strategi pembangunan bagi tempoh tahun 2026 hingga 2030 dengan memberi tumpuan kepada pembinaan bangunan baharu, penyelenggaraan serta naik taraf infrastruktur sekolah bagi memastikan kemudahan pembelajaran lebih kondusif dan selamat untuk pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, strategi berkenaan merangkumi pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah di bawah kelolaan YIK.

“Kerajaan telah mengadakan strategi Yayasan Islam Kelantan 2026 sehingga 2030 bagi menambah baik infrastruktur dan juga kemudahan sekolah di bawah pengelolaan Yayasan Islam Kelantan dengan mengadakan projek menambah baik ataupun membina bangunan baharu, menyelenggara, membaik pulih dan juga menaik taraf bangunan-bangunan sedia ada supaya lebih baik dan lebih kondusif dan juga selamat untuk digunakan oleh para pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong YB Shaari Mat Yaman pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Dalam soalan tambahan, YB Shaari turut membangkitkan cadangan menggerakkan jaringan alumni YIK untuk menyumbang semula kepada pembangunan sekolah masing-masing, khususnya dari segi infrastruktur dan kemudahan pendidikan.

Menjawab perkara itu, Dato’ Wan Roslan menjelaskan, kerajaan menggalakkan bekas pelajar sekolah di bawah kelolaan YIK mengamalkan konsep kembali berbudi dengan menyumbang kepada pembangunan institusi pendidikan masing-masing.

“Contohnya bekas pelajar Maahad Muhammadi, dia ada lelaki dan juga perempuan dengan kita meletakkan 'tagline' kembali berbudi,” katanya.

Menurutnya lagi, usaha menggerakkan alumni Maahad Muhammadi berjaya membantu mendapatkan tanah bagi meluaskan kawasan sekolah lelaki, selain menyediakan masjid untuk kemudahan pelajar perempuan.

“Alhamdulillah, dengan gerakan yang kita buat, dia membentuk alumni dan berjaya mengutip dan menyelesaikan sebidang tanah bagi meluaskan kawasan Maahad Muhammadi Lelaki dengan harga lebih ribu dan juga di Maahad Muhammadi Perempuan menyiapkan masjid untuk kemudahan pelajar-pelajar mengadakan ibadah, sembahyang dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan turut menggalakkan alumni sekolah lain kembali menyumbang kepada institusi masing-masing, termasuk melalui program motivasi dan perkongsian pengalaman bagi membantu pembangunan pelajar.

Beliau turut menghargai kewujudan Serikandi Alumni Maahad Muhammadi yang menghimpunkan bekas pelajar daripada pelbagai latar belakang profesional untuk membantu memenuhi keperluan sekolah di bawah kelolaan YIK.

Pautan berjaya disalin!