Kelantan tawar Skim Kredit Mikro tanpa faedah RM10,000 kepada usahawan kecil
-
29 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
50
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan Skim Kredit Mikro yang menawarkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Abdul Rahman berkata, penyediaan skim berkenaan merupakan antara inisiatif bersasar kerajaan negeri untuk memperkasa usahawan kecil dalam agenda pembangunan ekonomi yang inklusif.
Menurutnya, kemudahan pembiayaan itu disediakan bagi membantu usahawan kecil mendapatkan modal untuk mengembangkan perniagaan tanpa dikenakan faedah pinjaman.
“Penyediaan Skim Kredit Mikro menawarkan pinjaman tanpa faedah antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chetok YB Dato’ Zuraidin Abdullah, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Tambahnya, melalui penyediaan skim berkenaan, kerajaan negeri memberi perhatian kepada keperluan usahawan kecil untuk mendapatkan akses pembiayaan sebagai salah satu aspek penting dalam memperkukuh kelangsungan dan perkembangan perniagaan.







