Ketua jabatan perlu jadi peneraju budaya inovasi – SUK Kelantan
-
28 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
68
KOTA DARULNAIM, 28 Oktober - Ketua jabatan perlu menjadi peneraju pembudayaan inovasi dengan membuka ruang kepada pembaharuan serta memastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean al-Haj Tengku Feisssal, berkata tanggungjawab itu perlu diterjemahkan melalui keputusan pengurusan, sokongan kepada warga kerja dan kesediaan menambah baik amalan apabila terdapat kaedah lebih berkesan.
Beliau turut menggariskan lima keutamaan yang perlu diberi perhatian ketua jabatan bagi memacu pembudayaan inovasi dalam organisasi masing-masing.
Pertama, menjadikan masalah sebenar sebagai titik permulaan inovasi. Ketua jabatan perlu meneliti proses yang menyebabkan kelewatan, pertindihan tugas atau pembaziran sumber dengan memanfaatkan rekod operasi, maklum balas pelanggan dan pengalaman pegawai di lapangan bagi mengenal pasti penyelesaian yang tepat.
Kedua, membina persekitaran kerja yang menyuburkan daya fikir dan keberanian mencadangkan penambahbaikan.
Katanya,pandangan warga kerja perlu didengari dan disokong melalui bimbingan serta latihan bersesuaian. Idea juga perlu diuji secara terkawal dengan matlamat jelas, tanpa mengabaikan integriti, keselamatan maklumat dan kepentingan awam.
Ketiga, menetapkan ukuran keberhasilan yang boleh dibuktikan. Setiap projek inovasi perlu dinilai berdasarkan bukti seperti pengurangan tempoh proses, penjimatan kos, penggunaan sumber yang lebih cekap dan kemudahan kepada pengguna. Hasil penilaian itu menjadi asas menentukan kesinambungan serta peluasan projek.
Keempat, memastikan pengiktirafan disusuli pelaksanaan. Projek yang terbukti berkesan perlu diterapkan dalam operasi sebenar dengan menetapkan pegawai bertanggungjawab, tempoh pelaksanaan dan kaedah pemantauan.
Projek pada peringkat idea atau prototaip pula perlu terus dibimbing berdasarkan maklum balas panel penilai, termasuk melalui Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
Kelima, memperluaskan manfaat melalui kerjasama rentas jabatan. Agensi perlu memperkukuh penyelarasan proses, berkongsi kepakaran dan menjelaskan tanggungjawab masing-masing.
Projek yang berjaya juga digalakkan untuk dikongsi serta disesuaikan oleh jabatan lain bagi meningkatkan mutu perkhidmatan secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan, ketua jabatan perlu memimpin arah pembaharuan, warga kerja mengusahakan penyelesaian, manakala keberhasilannya dinilai berdasarkan manfaat kepada rakyat.
“Permudahkan proses, percepatkan tindakan dan pastikan setiap penambahbaikan membawa hasil yang nyata,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pengiktirafan Hari Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan 2026 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, hari ini.
Katanya lagi, kesungguhan melaksanakan pendekatan berkenaan mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran Negeri Kelantan.
Dalam majlis yang sama, Dato' Dr. Tengku Faziharudean turut menyampaikan hadiah pertandingan inovasi kepada para pemenang.
Johan bagi kategori Anugerah Inovasi Teknologi dan Maklumat (AIICT) dimenangi oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Johan Kategori Inovasi Pentadbiran Tanah dan Jajahan (AIPTJ) dimenangi oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dengan projek Sistem Rundingan Pembayaran Hasil Tanah Secara Berjadual 2.0.
Sementara Johan Kategori Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (AIPBT) pula dimenangi oleh Majlis Daerah Tanah Merah manakala Pejabat Sultan Kelantan meraih Johan Kategori Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK).
Masing-masing menerima cek bernilai RM4000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.














