Accessibility Tools

Skip to main content

Pengarah JPS Kelantan, Dato' Ir. Ts. Gs. Dr. Siti Fairus Zakaria


JPS kemuka empat objektif strategik IRBM urus Sungai Kelantan

  • 28 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 34

KOTA BHARU, 28 Oktober – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan mengemukakan empat objektif strategik Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Kelantan yang merangkumi pengurangan risiko banjir, jaminan kecukupan bekalan air, pemeliharaan kualiti air serta peningkatan kelestarian alam sekitar.

Pengarah JPS Kelantan Dato' Ir. Ts. Gs. Dr. Siti Fairus Zakaria berkata, keempat-empat objektif tersebut menjadi asas penting dalam memastikan pengurusan lembangan Sungai Kelantan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber air negeri.

Menurutnya, pendekatan IRBM menuntut penyelarasan antara pengurusan sumber air, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi kerana setiap aktiviti dalam kawasan lembangan sungai mempunyai kesalinghubungan serta kesan.

"Aktiviti pembangunan, perubahan guna tanah, penerokaan kawasan tadahan serta kegiatan manusia di hulu sungai berpotensi memberikan kesan kepada kawasan di hilir.

"Oleh itu, pengurusan lembangan Sungai Kelantan memerlukan perancangan yang teratur, penyelarasan antara agensi serta penglibatan aktif masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA) bagi Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Kelantan 2026 sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di Pasar Warisan, Pengkalan Datu, semalam.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kejayaan pelaksanaan empat objektif berkenaan memerlukan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan komuniti setempat.

Katanya lagi, JPS Kelantan akan terus menyokong pengurusan sungai secara mampan melalui perancangan, pemantauan, penyelarasan dan pelaksanaan program bersesuaian mengikut bidang kuasa serta tanggungjawab jabatan.

Beliau turut menegaskan bahawa keberkesanan IRBM tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dasar, perancangan teknikal atau pelaksanaan projek kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, kejayaan pengurusan lembangan sungai turut ditentukan oleh tahap kefahaman, kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk mengamalkan prinsip pemeliharaan sungai secara berterusan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggariskan kepentingan mempergiat program pendidikan dan kesedaran awam, aktiviti gotong-royong serta pembersihan sungai secara berkala di samping memperluas penyertaan belia, pelajar dan komuniti dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

"Kesedaran mengenai pencemaran sungai dan kepentingan melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa perlu dipertingkatkan, selain memupuk budaya penggunaan air secara berhemah dan bertanggungjawab," jelasnya.

Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh penglibatan masyarakat dalam aktiviti pemantauan sungai mengikut kesesuaian dan keupayaan masing-masing.

Pada masa yang sama, usaha pemeliharaan lembangan Sungai Kelantan perlu disokong melalui penguatkuasaan akta dan enakmen berkaitan, pematuhan garis panduan pembangunan, arahan teknik serta pelaksanaan kajian yang bersesuaian.

"Marilah kita menjadikan sungai sebagai tanggungjawab bersama, bukan sekadar sumber yang kita gunakan tetapi khazanah yang wajib kita pelihara dan jaga," ujarnya.

Beliau berharap penganjuran program CEPA IRBM Sungai Kelantan 2026 dapat memperkukuh pengetahuan, kesedaran dan komitmen semua pihak terhadap kepentingan pengurusan lembangan sungai secara bersepadu.

Pautan berjaya disalin!