Accessibility Tools

Skip to main content

Teknik penyampaian, intonasi suara penentu kejayaan pidato - Fadzli Aziz

  • 28 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 35

KOTA BHARU, 28 Oktober – Teknik penyampaian yang mantap, disokong penggunaan intonasi suara yang berkesan dan pemilihan bahasa bersesuaian, menjadi antara faktor penting dalam menentukan kejayaan peserta pertandingan pengucapan awam.

Juri Kategori Gaya dan Persembahan Pertandingan Pidato Perdana PMBI Peringkat Negeri Kelantan 2026 Ahmad Fadzli Ab Aziz (Fadzli Aziz) berkata, peserta perlu mengimbangi gaya penyampaian dengan kekuatan isi bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami dan memberi kesan kepada khalayak.

Menurutnya, pengucapan awam boleh diumpamakan seperti penggunaan pistol dan peluru, dengan teknik penyampaian berperanan sebagai pistol, manakala isi kandungan serta bahasa menjadi pelurunya.

“Pengucap memerlukan gaya penyampaian yang baik di samping isi yang bernas untuk memukau penonton,” katanya ketika menyampaikan ulasan rasmi pertandingan yang berlangsung di sebuah hotel, hari ini.

Beliau menjelaskan, variasi intonasi suara penting bagi membantu pendengar mengikuti setiap isi utama dengan jelas, termasuk melalui perubahan nada, kelajuan dan penekanan mengikut kesesuaian penyampaian.

“Jika peserta sendiri kelihatan tercari-cari isi penting akibat terlalu bergantung pada hafalan skrip tanpa membezakan setiap perenggan, maka juri dan penonton juga akan turut berasa keliru,” katanya.

Dari aspek bahasa, Fadzli memuji ketelitian peserta memilih perkataan yang tepat serta menegaskan kepentingan sebutan yang jelas.

Walau bagaimanapun, beliau mendapati sebahagian peserta masih perlu memperbaiki pergerakan fizikal yang terlalu kaku atau berulang-ulang akibat kegugupan ketika berucap.

“Apabila seseorang peserta terlalu risau tentang apa yang hendak diperkatakan, pergerakan fizikalnya menjadi tidak menentu tanpa memanfaatkan ruang pentas secara optimum,” jelasnya.

Beliau turut memuji peserta yang berjaya menampilkan penghayatan baik ketika membacakan ayat suci al-Quran dan mengemukakan dalil, selain menyifatkan kandungan teks secara keseluruhan telah dirancang dengan teliti.

Mengakhiri ulasannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan memuji komitmen Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kelantan dalam meneruskan penganjuran pertandingan berkenaan sebagai medan mencungkil serta mengasah bakat baharu dalam pengucapan awam.

Fadzli turut menasihatkan peserta yang belum berjaya supaya tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan pengalaman pertandingan sebagai ruang memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kemahiran penyampaian pada masa hadapan.

Pautan berjaya disalin!