Accessibility Tools

Skip to main content

Kemahiran komunikasi berkesan mampu dekati masyarakat – YB Mohd Asri

  • 28 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 32

KOTA BHARU, 28 Oktober – Penguasaan kemahiran komunikasi dan pengucapan awam yang berkesan perlu diperkasakan bagi melahirkan individu yang mampu menyampaikan maklumat dengan baik serta mendekati masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud berkata, kemahiran berpidato memerlukan latihan berterusan, disiplin tinggi serta persediaan fizikal dan mental bagi memastikan penyampaian memberi kesan kepada pendengar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Pertandingan Akhir Pidato Perdana Peringkat Kerajaan Negeri Kelantan 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri komited memperkasakan program pengucapan awam melalui penganjuran pertandingan berkenaan bagi mencungkil bakat baharu serta melahirkan lebih ramai pelapis pemidato di Kelantan.

“Kita mahu pastikan di setiap rumah dan mukim lahir individu yang mampu menyampaikan ucapan yang berkesan serta memberi kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa persediaan fizikal dan mental penting bagi membantu seseorang mengatasi perasaan gemuruh ketika berhadapan dengan khalayak, selain mencontohi pengalaman dalam bidang pengucapan sebagai panduan memperbaiki mutu penyampaian.

“Manusia tidak boleh hidup seorang diri kerana kita memerlukan komunikasi yang baik untuk membina masyarakat yang harmoni,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru institusi keluarga dan komuniti setempat supaya memainkan peranan aktif dalam memupuk minat berpidato sejak usia muda, di samping membudayakan pengucapan yang berteraskan nilai murni dan doa.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut membudayakan bacaan surah al-Fatihah dalam setiap mesyuarat rasmi sebagai usaha memohon keberkatan dan ketenangan dalam urusan pentadbiran.

“Program pidato ini akan terus diperluaskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai tokoh pemidato yang berkebolehan tinggi mengendalikan pelbagai program komuniti,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian serta merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru atas sokongan berterusan dalam mengembangkan bakat pengucapan awam.

Pautan berjaya disalin!