Media sosial, majalah UPKN rujukan utama finalis Pidato PMBI
-
28 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
46
KOTA BHARU, 28 Oktober – Media sosial dan penerbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) menjadi antara sumber rujukan utama peserta akhir Pertandingan Pidato Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) Peringkat Negeri Kelantan dalam menyediakan teks pidato yang berfakta, bernas dan berkesan.
Majoriti peserta akhir mengakui bahawa perkongsian maklumat menerusi platform digital UPKN, khususnya Facebook (FB), banyak membantu mereka memahami dasar Membangun Bersama Islam (MBI) serta menghuraikan pelaksanaannya dalam konteks pentadbiran dan kehidupan masyarakat.
Seorang peserta dari Pasir Puteh yang juga bakal guru Bahasa Melayu Nik Syamsuddin Nik Mohamad berkata, beliau banyak memperoleh maklumat menerusi FB UPKN ketika menyediakan teks pidato bertajuk Tadbir Urus Berkat.
Menurutnya, penyertaan dalam pertandingan tersebut turut didorong oleh seorang senior yang pernah menjuarai Pertandingan Syarahan PMBI pada tahun lalu.
“Saya menyertai pertandingan pidato ini atas dorongan senior yang juga juara Syarahan PMBI tahun lepas.
“Daripadanya, saya mempelajari teknik mengupas tajuk yang diberikan dengan menjadikan FB UPKN sebagai antara sumber rujukan utama,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan pidato di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pandangan sama dikongsi Pegawai Dakwah Halaqat dari Gua Musang Zul Azhan Zulkefflli yang mempersembahkan pidato bertajuk Kelantan Negeri Berkebajikan.
Zul Azhan Zulkefflli
Beliau berkata, selain mendapatkan maklumat terkini melalui Facebook UPKN, penerbitan bercetak seperti majalah Fajar Islam turut menjadi bahan rujukan penting bagi memperkukuh hujah dan memastikan ketepatan fakta yang diketengahkan.
“Selain FB UPKN, saya turut merujuk rencana dalam majalah Fajar Islam terbitan UPKN sebagai sumber utama untuk mendapatkan fakta dan data yang tepat bagi menguatkan isi pidato,” ujarnya.
Sementara itu, peserta dari Sekolah Menengah Tahfiz Integriti Pasir Puteh Nurren Insyirah Abd Razak memaklumkan, bimbingan guru serta penggunaan bahan rujukan rasmi banyak membantunya menghasilkan teks pidato yang lebih tersusun dan bermaklumat.
Nurren Insyirah Abd Razak
“Melalui bimbingan guru yang merujuk Dokumen Induk PMBI dan media sosial UPKN, saya dapat memahami tajuk Kelantan Model Perpaduan dengan lebih mendalam sekali gus menyediakan teks pidato yang bernas,” jelasnya.
Perkongsian ketiga-tiga peserta itu memperlihatkan kepentingan penyampaian maklumat dasar kerajaan melalui pelbagai saluran, sama ada platform digital mahupun penerbitan bercetak, dalam memperluas kefahaman masyarakat terhadap agenda PMBI.
Hal tersebut membuktikan ketepatan tindakan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud yang bertekad mengekalkan penerbitan UPKN versi cetak.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud
"Hebahan secara tradisional diteruskan melalui pengedaran risalah, penerbitan majalah Fajar Islam dan bahan bercetak lain kerana walaupun masyarakat semakin cenderung mengakses maklumat secara digital, kerajaan negeri berpandangan bahan cetakan tetap diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Wacana 36 Tahun Membangun Bersama Islam bertajuk Kelangsungan Membangun Bersama Islam dan Kesiapsiagaan Mendepani Masa Hadapan di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia sempena Sambutan MBI ke-36 di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, pada 20 Oktober.
Pada masa yang sama, penggunaan bahan rujukan rasmi turut membantu peserta menghubungkan gagasan pembangunan berteraskan Islam dengan contoh pelaksanaan yang lebih dekat dengan realiti kehidupan rakyat Kelantan.
Para peserta juga merakamkan penghargaan kepada UPKN atas penganjuran pertandingan tersebut yang bukan sahaja menyediakan medan mengasah bakat pengucapan awam dan menjadi wahana pendidikan dan penyebaran ilmu bagi memperkasakan kefahaman generasi muda terhadap dasar MBI melalui pendekatan PMBI.
Pertandingan tersebut sekali gus menyerlahkan peranan media penerangan kerajaan negeri sebagai saluran penyampaian maklumat, bahkan sebagai sumber ilmu dan rujukan dalam membina generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran kritis serta mampu mengartikulasikan dasar pembangunan negeri secara berkesan.














